TERKINI :

Monday, July 11, 2016

Kenapa Ridhuan Tee tidak gesa kerajaan pinda Akta 355? soal Pemuda Amanah

11 Julai 2016 | ARIF ATAN

Pemuda Amanah Nasional mempersoal pandangan pensyarah Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang dilihat cuba bermain politik murahan dengan mencanangkan sentimen perkauman atas nama agama.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, cadangan penceramah itu supaya akronim Amanah digantikan dengan Pan adalah suara pihak yang terdesak dan terancam dengan kemaraan Amanah.

"Amanah adalah satu nama yang mempunyai identiti dan prinsip mulia dari sudut Islam dan sejagat.

"Adakah ketakutan Ridhuan pada nama Amanah seolah-olah beliau cuba membela kepimpinan negara yang semakin kehilangan nilai amanah?" bidasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata, peratusan undi yan diperoleh Amanah pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini menunjukkan perjuangan Amanah kini semakin diterima rakyat.

"Atas dasar memulihkan krisis negara hari ini, kemunculan Amanah yang berjuang bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan amat relevan dalam mengubah sistem pemerintahan Umno-BN yang korup dengan mewujudkan pemerintahan berasaskn ketelusan, urus tadbir baik, keadilan dan integriti.

"Atas dasar ini, konsep negara 'Al-Amin' adalah gagasan yang akan diperjuangkan," jelasnya mengulas tulisan Ridhuan bertajuk, 'Amanah: Antara kuali dan papan' di akhbar Sinar Harian hari ini.

Mengulas tuduhan Ridhuan kononnya Amanah bersubahat dengan 'ultra kiasu' dalam menolak agenda Islam terutama Rang Undang-Undang (RUU) 355, beliau menjawab, Amanah tidak pernah menentang pindaan peruntukan itu sebaliknya yakin sebarang usaha ke arah peningkatan kuasa Mahkamah Syariah perlu dilakukan secara ikhlas tanpa membangkitkan sebarang polemik.

"Kaedah konsultasi dan penerangan perlu dipergiat agar semua pihak dapat memahaminya tanpa mewujudkan sebarang keadaan yang boleh menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.

"Kenapa tidak Ridhuan menggesa pihak kerajaan sendiri meminda Akta 355 jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu memartabatkan kedudukan hukum syariah di negara ini?

"Kenapakah Ridhuan tidak membantu memudahkan urusan ini?" bidas peguam itu.

Menurut Faiz, pindaan RUU 355 itu hendaklah dibawa oleh pihak kerajaan iaitu oleh menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam memandangkan kelulusannya adalah lebih mudah kerana dibawa oleh pihak kerajaan sendiri yang memiliki majoriti di Parlimen.

"Amanah bukan khadam kepada mana-mana pihak termasuk DAP, tetapi berkongsi dasar perjuangan yang sama iaitu menentang kezaliman pemerintah terhadap rakyat," tambahnya lagi.

http://malaysiadateline.com/index.php/berita-list/16-berita-utama/3597-kenapa-ridhuan-tee-tidak-gesa-kerajaan-pinda-akta-355-soal-pemuda-amanah

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...