TERKINI :

Friday, July 15, 2016

Kenapa nak bandingkan parti baru Tun M dengan Semangat 46, tidak dengan PAS atau PKR?

KENAPA BANDINGKAN PARTI BARU TUN M DENGAN SEMANGAT 46? MENGAPA TIDAK DENGAN PKR ATAU PAS?

Seperti terpercik nada kebimbangan serta kegusaran,  walaupun tidak dinyatakan secara langsung, apabila beberapa pemimpin UMNO memberikan reaksi berhubung  penubuhan parti politik baru oleh Tun Mahathir Mohamad yang dijangka dimuktamadkan dalam waktu terdekat ini.

Ismail Sabri Yaakob cuba mengingatkan Tun Mahathir mengenai nasib parti Semangat 46 yang tidak mampu bertahan lama dan akhirnya semua pimpinannya kembali semula ke pangkuan UMNO.

Nazri Aziz pula seolah-olah menyindir dengan menafsirkan bahawa hasrat menubuhkan parti baru itu menunjukkan Tun Mahathir tidak diterima untuk menyertai mana-mana parti pembangkang sedia ada.

Jika benar parti baru yang ditubuhkan oleh mana-mana bekas pemimpin UMNO tidak mampu bertahan lama, bukankah ia sesuatu yang seharusnya menggembirakan UMNO?

Sepatutnya, biarkan saja ia ditubuhkan dan tidak perlu diperingatkan apa-apa kerana akhirnya hanya menjadi suatu pemburuan cita-cita Tun Mahathir yang tidak kesampaian ke mana-mana.

Tetapi, benarkah semua parti baru yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin UMNO atau serpihan parti itu tidak mampu bertahan lama atau tidak berupaya menyaingi UMNO?

Bagaimana jika parti baru inisiatif Tun Mahathir yang turut disertai oleh bekas pemimpin UMNO lain yang dipecat dan kemudian bergabung dengan Pakatan Harapan, ia kemudian mampu menumbangkan BN dalam pilihanraya akan datang?

Kenapa sejarah Semangat 46 saja yang selalu diambil sebagai contoh untuk mengingatkan kegagalan menubuhkan parti-parti baru?

Apakah Tun Mahathir tidak sedar mengenai perkara itu?

Tidakkah Ismail Sabri maklum bahawa Semangat 46 ditubuhkan kerana ingin menentang Tun Mahathir dan kembalinya ahli serta pimpinan parti itu ke pangkuan UMNO adalah juga atas daya usaha dan kelicikan bekas Perdana Menteri itu?

Bagaimana dengan sejarah Pas yang juga merupakan parti serpihan UMNO, tetapi masih mampu bertahan sehingga sekarang?

Begitu juga dengan PKR yang ditubuhkan setelah Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO, bukan saja sekarang dapat menguasai Selangor, bahkan terus menjadi parti yang mampan dan berkembang?

Dalam pada itu, jika benar tafsiran Nazri Aziz bahawa parti baru itu menunjukkan Tun Mahathir tidak diterima menyertai mana-mana parti sedia, sudah tentu ia akan bergerak bersendirian saja  untuk menentang UMNO dalam pilihanraya nanti.

Namun, barangkali Nazri terlepas maklumat bahawa Pakatan Harapan amat mengalu-alukan parti baru itu dan sedia untuk bekerjasama demi mencapai matlamat yang sama memulihkan kembali imej negara yang telah dirosakkan oleh Najib.

Akhirnya, kiranya Pas masih mampu bertahan sehingga sekarang dan menguasai Kelantan dan dengan PKR  berkembang sehingga dapat menawan Selangor, bahkan Najib dengan segala kekuatannya pun gagal merampas negeri paling kaya itu pada pilihanraya 2013 lalu, apakah  mustahil Tun Mahathir dengan parti barunya yang disertai kelicikan dan pengalamannya selama ini, bersama pula dengan Pakatan Harapan, akan mengorak satu lagi sejarah dengan mampu menakluk Putrajaya sudahnya?

(SH 14/07/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...