TERKINI :

Friday, July 15, 2016

Karikatur 'dedak': Ku Seman tak nampak DAP hina Islam

Bekas editor kanan Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain tidak bersetuju dengan dakwaan sesetengah pihak mengenai karikatur 'dedak' yang didakwa berkait dengan Nga Kor Ming dari DAP sebagai menghina Islam.

Ku Seman yang berkhidmat lebih 32 tahun dengan akhbar Umno itu berkata, beliau membaca ia sebagai satira politik dengan perkataan 'derma' dan 'dedak' adalah kata kunci yang popular dalam situasi politik semasa.

"Saya tidak jumpa elemen-elemen yang dikatakan menghina Islam yang membawa Pemuda Umno menyerbu pejabat DAP.

"Kalau dikatakan karikatur ini menghina Umno atau pemimpin Umno, saya setuju.

"Tetapi bab menghina Islam saya tidak nampak. Adakah ada perkataan "Aidilfitri" sudah cukup mengaitkan dengan Islam? Jangan pula ada yang mengDAPkan saya pula. Saya non-partisan," jelasnya dalam kenyataan di laman Facebook beliau, hari ini.

Baru-baru ini, kira-kira 200 peserta baju merah yang diketuai oleh Pemuda Umno berkumpul di hadapan Ibu Pejabat DAP Kuala Lumpur bagi membantah kenyataan Nga yang didakwa menghina Islam.

Tindakan sedemikian dipertahankan oleh Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang menegaskan bahawa tindakan melampau batas Nga perlu diajar supaya perkara yang sama tidak berulang.

Sebelum ini, sumber-sumber memaklumkan Ku Seman meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan keputusan syarikat memindahkannya keluar daripada bahagian akhbar kepada sebuah anak syarikat.

Perkara itu dikaitkan dengan tulisan lantang beliau tahun lalu yang mempersoalkan integriti Umno dalam menjelaskan perkara sebenar isu derma yang diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Ku Seman menambah, tindakan mengadakan demonstrasi oleh Pemuda Umno itu adalah tidak wajar dan bersikap kebudak-budakan.

"Adakah saya tidak nampak elemen menghina Islam kerana saya belum cukup Islam berbanding Pemuda Umno terutama Pemuda Umno Wilayah? Itu saya tidak ada jawapan.

"Tetapi saya percaya kalau dikatakan karikatur itu menghina Umno, api kemarahan orang Islam tidak semarak. Sebenarnya menghina Umno berdasarkan dua kata kunci yang disebutkan di atas.

"Saya fikir ada isu lain yang lebih tepat menunjukkan DAP menghina Islam atau Melayu. Tetapi bukan isu karikatur ini," jelas beliau lagi.

Justeru, ujar Ku Seman, adalah terlalu kebudak-budakan untuk mengangkat isu berkenaan bagi menunjukkan agenda DAP menghina Islam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...