TERKINI :

Wednesday, July 27, 2016

Jika NAJIB tidak rasa MALU, tidak MALUKAH kita terus berketuakannya..???

Shahbudin Husin,


Dua orang rakan baru balik dari luar negara. Seorang berada di Jakarta dan seorang lagi di London ketika Jabatan Kehakiman AS membuat pengumuman untuk menyita harta-harta berkaitan wang 1MDB yang dipercayai telah diselewengkan.

Mereka hanya menonton berita mengenai perkara itu melalui televisyen di bilik hotel masing-masing.

Apabila kedua-duanya turun ke lobi hotel tidak lama kemudian bagi urusan seterusnya, buat pertama kali meraka berasa malu sebagai rakyat Malaysia ketika berada di luar negara. Masing-masing berasakan seperti banyak mata sedang memerhati kepada mereka.

Malaysia tidak lagi menjadi bahan berita kerana membuat pelaburan ekonomi yang besar, memberi bantuan kemanusiaan, menolong negara-negara miskin yang kesusahan atau atas kejayaan cemerlang sesuatu bidang, tetapi buat julung kalinya kerana sejumlah harta dalam skala rasaksa (ini yang disebut dalam media Indonesia) bakal dirampas kerana dipercayai daripada hasil curi.

Sebagai ketua kerajaan, apakah Najib Razak tidak malu dengan nasib negara sekarang?

Jika diimbas seketika detik-detik sejak meletusnya isu berkaitan 1MDB ini, Najib boleh dikira pemimpin paling selamba atau paling "sardin" dalam dunia. Keselambaan dan "kesardinannya" mengalahkan selambanya ikan sardin dalam tin.

Didedahkan dengan pelbagai isu yang menghenyak namanya, nama keluarga dan nama keturunannya sebagai anak Tun Razak yang disanjung ramai, Najib seolah-olah tidak berasa apa-apa dengan semua itu.

Jika dia mahu berjubah putih, dia akan memakainya tanpa memikirkan banyak selut kotor telah dikaitkan dengannya selama ini dan diperkatakan oleh seluruh rakyat dan dunia.

Jika dia mahu bercakap soal yang baik-baik seperti berjimat cermat, belanja berhemah, tidak membazir, jangan makan rasuah, jangan salah guna duit rakyat atau lain-lainnya, dia juga mampu berbuat selamba dan "sardin" tanpa melihat kelakuan diri dan keluarganya sendiri.

Begitu juga, dengan selamba dan "sardinnya" dia boleh mengatakan nama-nama yang disebut dalam kertas mahkamah Jabatan Kehakiman AS perlu membersihkan nama masing-masing, seolah-olah Malaysian Official 1 yang turut disebut dan memiliki segala ciri-ciri dirinya adalah bukan dirinya.

Tetapi, sampai kita sebagai rakyat harus menanggung semua rasa malu kerana berketuakan Najib sedangkan tuan punya badan tidak berasa apa-apa dan hanya "sardin" saja dengannya?

Sesuatu yang harus kita sedari juga ialah selagi ada Najib, Malaysia tidak akan aman dari segala pandangan buruk pihak lain kerana beliau sudah umpama "bangkai gajah" yang tidak mampu ditutup dan dilindungi lagi segala onar dan kecurangannya.

Cepat atau lambat, sebelum atau ketika pilihanraya, menyingkirkan Najib haruslah menjadi keutamaan jika kita semua mahu benar-benar aman dan damai hidup di negara ini serta kembali bangga bila berada di luar negara. (SH 27/07/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...