TERKINI :

Wednesday, July 20, 2016

Isu 1MDB diuruskan IGP, timbalan enggan jawab

http://media.themalaymailonline.com/images/sized/ez/Noor_Rashid_Ibrahim0608a_620_413_100.jpg

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai siasatan polis terhadap laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke atas 1MDB.

Ini kerana katanya, kes itu kini diuruskan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Tanya soalan itu saya tidak boleh jawab kerana ia diuruskan oleh Tan Sri IGP,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan polis terhadap PAC ke atas 1MDB yang sudah masuk tiga bulan.

Terdahulu pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan apa yang berlaku dalam siasatan polis berhubung 1MDB.

Lim menyoal demikian ketika meluahkan rasa terkejut bahawa polis mungkin tidak mempunyai salinan laporan audit 1MDB itu yang dirujuk oleh laporan PAC berkenaan.

Kenyataan Lim itu merujuk kata-kata Khalid minggu lalu bahawa polis perlu menyemak dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sama ada dokumen audit 1MDB yang didedahkan oleh Sarawak Report adalah tulen.

Sehubungan itu, Lim juga ingin tahu jika ketua polis tersebut telah mengesahkan ketulenan dokumen berkenaan dengan Ambrin.

Dokumen audit 1MDB telah diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi.

Menurut pengkritik, tindakan merahsiakan dapatan audit negara membuktikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai sesuatu yang mahu disembunyikan.

Siasatan kematian menantu TPM

Sementara itu Noor Rashid ketika ditanya mengenai siasatan kes kematian menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi tidak mengetahui perkembangan kes itu.

Sebaliknya berkata kes itu disiasat oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

“Tanya Amar Singh, perkembangan saya tak tahu,” katanya.

Terdahulu polis mengambil keterangan 11 individu dalam siasatan berhubung kematian Syed Alman susulan susulan rawatan gigi di Bangsar.

Syed Alman Zain, 44, merupakan suami kepada anak sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah, 37.

Allahyarham dilaporkan pergi ke klinik bersama seorang rakan untuk mendapatkan rawatan gigi sebelum tidak sedarkan diri. Beliau kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan disahkan meninggal dunia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...