TERKINI :

Sunday, July 3, 2016

Husam: PAS Kelantan & Selangor tentu jatuh, isunya siapa pengganti?

Husam: Kelantan tentu jatuh, isunya siapa pengganti Bukan saya usaha jatuhkan Pas Kelantan, itu keputusan mereka sendiri, kata Husam

"Tuduhan saya berusaha jatuhkan kerajaan Kelantan tidak benar sama sekali kerana kerajaan ini tentu akan jatuh hasil pilihan presiden Pas sendiri untuk kembali ke zaman Pas tidak menang dulu," kata Adun Salor Datuk Husam Musa di majlis makan colek anjuran Amanah Kelantan malam tadi.

Menurut Husam kejatuhan kerajaan Pas Kelantan dan kekalahan kebanyakan kerusi-kerusi Pas seluruh negara tidak dapat dielakkan apabila Pas memilih kembali menyendiri dan membuat blok ke 3 yang terasing dari pentas politik pilihan rakyat.

Keputusan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar katanya menunjukkan parti asal beliau itu akan kembali kalah di semua kerusi-kerusi campuran dan kerusi-kerusi 'marginal' kawasan majoriti Melayu.

"Di Selangor kesemua 15 kerusi akan jatuh dan kalau Datuk Iskandar masih mahu jadi wakil rakyat selepas PRU ke 14 beliau perlu berhijrah ke mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH).

"Saya adalah pengerusi "Road Map" Pas PRU 13 dan kita memang sasarkan untuk menang 15 kerusi di Selangor dengan memilih kerusi-kerusi campuran supaya rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) waktu itu dapat melonjakkan undi bagi mengalahkan BN.

"Kini tanpa lonjakan sokongan luar Pas kita boleh baca dengan tepat kesemua 15 kerusi itu Pas akan kalah termasuk Dr. Rani dan Dr. Halimah sekalipun," ujar beliau di perkarangan pejabat Amanah Kelantan di Kota Bharu..

Berkaitan Kelantan katanya, dengan mengasingkan diri dari 'mainstream' pakatan pembangkang tidak perlu penganalisa profesional untuk mengatakan Pas tentu kalah dalam PRU akan datang.

"Yang menjadi isu sekarang, kerajaan Pas yang akan kalah ini akan diganti oleh siapa," soal beliau. Umno katanya telah memasang angan-angan untuk kembali berkuasa di Kelantan.

"Tapi kena ingat dengan badai yang sedang melanda Umno sekarang, mereka pun tahu situasi telah berbeza dan kubu mereka termasuk di Johor sedang terumbang ambing dan mungkin runtuh," katanya.

Menurut beliau gerakan yang kini dipanggil 3M, iaitu Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz tidak boleh dipandang ringan dan ia boleh bangkit membentuk gegaran besar jika diatur dengan sempurna.

"Sebab itu di Kelantan ini kalau Amanah benar-benar mahu ambil alih, ia tidak pelik dengan syarat buat kerja kuat dan berstrategi dan elak perangai buruk parti lama berkelahi dengan semua orang," katanya. -

malaysiadateline

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...