TERKINI :

Saturday, July 30, 2016

Exco Kedah - Ketum tidak diiktiraf bidang perubatan

Wartawan Sinar Harian

ALOR SETAR – Rakyat Kedah disarankan supaya lebih berhati-hati dalam isu cadangan tanaman pokok ketum di seluruh negara kononnya untuk memenuhi permintaan pasaran luar negara.

Exco Kesihatan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, ia kerana isu pokok ketum masih dalam proses pindaan daripada Akta Racun kepada Akta Dadah Berbahaya.

“Saya ada dengar pihak Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) cadang tanam dan eksport pokok ketum, tapi kita tak tahu negara mana yang nak terima. Adakah Malaysia benarkan untuk tanam sebab perundangan itu pun belum selesai.

“Kita masih dalam proses pindaan Akta. Apabila Risda buat cadangan itu ia seolah-olah bercanggah dengan kerajaan. Tahun lepas kita nak letak ia dalam Akta Dadah Berbahaya, tapi tergendala sebab ada pihak kata ia mempunyai kesan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, pihak Risda sepatutnya membuat kajian terperinci terlebih dahulu mengenai kesan dan kebaikan pokok ketum kepada manusia sebelum membuat cadangan untuk mengeksport ke luar negara.

“Kita sedia maklum ketum ini memudaratkan kesihatan, tapi kalau mengambilnya dengan dos atau kuantiti yang terlalu sedikit ia boleh memberi tenaga dan boleh hilangkan sakit badan.

“Tapi kalau diambil dengan dos atau kuantiti yang banyak, ia boleh menyebabkan kesan kepada kulit menjadi kehitaman, letih, kesan kepada otak dan organ dalaman,” katanya.

Yong Kong berkata, daun ketum juga tidak pernah diiktiraf dalam bidang perubatan untuk merawat penyakit.

“Cuma ia dikatakan boleh menyembuhkan penyakit tertentu. Bagaimanapun, hasil kajian tidak membuktikan ia boleh merawat penyakit, termasuk kanser.

“Ada beberapa kawasan di utara Kedah yang dikenal pasti mempunyai tanaman pokok ketum, tapi pihak berkuasa telah menasihatkan supaya tukar tanaman itu kepada tanaman lain,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...