TERKINI :

Tuesday, July 12, 2016

DAP, AMANAH tolak cadangan Muhyiddin ganti Azizah

Pemimpin DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak cadangan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub dan Setiausaha Penganjur DAP Anthony Loke melahirkan rasa puas hati dengan prestasi presiden PKR itu.

"Pasti (kita berpuas hati dengan beliau) sebagai ketua pembangkang di negara ini," jawab Salahuddin apabila ditanya mengenai perkara itu.

"DAP mempunyai keyakinan penuh terhadap Wan Azizah untuk terus menerajui pembangkang," kata Loke.

Kedua-dua pemimpin itu ditemui selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mengadakan mesyuarat majlis presiden pagi ini.

Ahli jawatankuasa pusat AMANAH Mazlan Aliman sebelum ini dilaporkan berkata, parti itu akan mencadangkan Muhyiddin sebagai pemimpin pembangkang yang baru.

Parti itu kemudian menjelaskan bahawa kenyataan Mazlan diambil di luar konteks.

Sementara itu, Salahuddin berkata, HARAPAN bersikap terbuka sekiranya Muhyiddin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyertai mana-mana daripada ketiga-tiga parti dalam blok pembangkang.

"Pintu akan sentiasa terbuka untuk mereka," katanya.

Muhyiddin, yang digugurkan sebagai timbalan perdana menteri pada tahun lalu, dipecat daripada Umno bersama Mukhriz pada 24 Jun lalu.

Manakala Shafie, yang juga dipecat daripada jawatan menteri, mengambil keputusan keluar Umno selepas digantung daripada parti itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...