TERKINI :

Wednesday, July 27, 2016

Campur tangan asing atau tidak mahu campur tangan?

Oleh Nor Miswary Ramli

court-dojs
Dalam pelbagai kemahiran rakyat Malaysia yang menakjubkan, terutama orang Melayu – kemahiran mengalih pandangan daripada isu utama adalah sesuatu yang paling sukar disangkal.

Orang Melayu terutamanya, begitu pandai mengalih pandangan kepada isu pokok yang sepatutnya diambil perhatian melebihi awan larat yang melingkari isu tersebut. Lihat saja akhbar tabloid tempatan yang lebih berminat melaporkan dan menyiarkan tajuk berita di muka hadapan dengan topik ‘panas’ yang jauh menyimpang permasalahan sebenar, yang sepatutnya menyedarkan rakyat Malaysia apa berlaku serta kesannya ke atas setiap daripada kita.

Rakyat Malaysia mudah teralih pandangan mereka daripada isu sebenar yang lebih menjejaskan nama negara dan rakyat secara khususnya.

Saman sivil mengikut bidang kuasa

Apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengambil tindakan saman sivil dengan niat mendapatkan semula harta atau yang didakwa dilakukan secara salah di dalam negara mereka melalui sebuah syarikat pelaburan ditubuhkan kerajaan Malaysia, maka sudah tentunya mereka berhak dan wajar mengambil apa-apa saja tindakan perlu mengikut bidang kuasa undang-undang mereka.

Melainkan jika mereka iaitu DoJ mengambil tindakan ke atas rakyat Malaysia yang memiliki syarikat persendirian di Pulau Pinang menyalahgunakan wang syarikatnya di pusat perjudian seperti di Genting Highland, Pahang atau membeli beberapa perumahan mewah di Pavillion Residences, Bukit Bintang atau membeli beberapa lukisan dan arca karya Syed Ahmad Jamal.

Jika itu berlaku, bolehlah kita beranggapan ia campur tangan asing ke atas negara kita yang berdaulat ini.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Malah tindakan DoJ ini menepati peruntukan undang-undang yang melibatkan harta dan pemilikan di bumi Amerika Syarikat. Ia akan jadi pelik pula jika mereka tidak bertindak seperti apa yang dilakukan ini.

Jangan alih isu sebenar

Yang sepatutnya menjadi kerunsingan kita adalah bagaimana skandal berat ini tergamak dilakukan mereka yang diamanahkan mengurus tadbir syarikat pelaburan milik kerajaan dengan jaminan kerajaan ini.

Malah apabila saman sivil ini melibatkan individu ‘superkaya’ yang sangat berkait rapat dengan pegawai tertinggi kerajaan, kita sepatutnya mengangkat persoalan jauh lebih besar seperti soal ketelusan pentadbiran serta urus tadbir yang baik dan bukan pula terarah kepada hal remeh langsung tidak relevan.

Apakah kita tidak merasa suatu keperluan untuk bangun dan persoalkan perilaku salah guna ini? Apakah kita hanya berminat untuk melihat daripada kaca mata sempit yang langsung tidak masuk akal seperti polemik campur tangan asing ini?

Adakah kita sedar harta dan pemilikan yang mahu dikembalikan ini sejumlah wang milik kerajaan yang secara tidak langsungnya milik rakyat Malaysia juga? Sedarkah kita DoJ yang kononnya melakukan campur tangan asing ini sedang membuat kerja bagi pihak kita – rakyat Malaysia?

Siapa sebenar yang prihatin?

Saman sivil ini menimbulkan banyak persoalan melampaui isu campur tangan asing, mengalih pandangan kita kepada isu utama seperti tatakelola pentadbiran yang baik, ketelusan pentadbiran, salah guna wang milik syarikat kerajaan dan kesalahan penggubahan wang haram dilakukan dengan begitu licik untuk kepentingan peribadi beberapa kerat individu.

Mahukah kita mengkategorikan ia sebagai campur tangan asing jika kerajaan Malaysia melalui peguam negara (AG) dan PDRM misalnya, mengambil tindakan sama jika ada mana-mana warga asing melakukan jenayah di dalam negara kita dengan merompak atau menjadikan negara ini sebagai pusat melakukan jenayah, seperti dakwaan kes 1MDB ini?

Tidakkah kita sedar tindakan DoJ selari dengan mana-mana negara di dunia yang pastinya akan mempertahankan kedaulatan negara mereka melalui bidang kuasa masing-masing bila mana berlakunya jenayah menyalahi peruntukan undang-undang dalam negara mereka. Malaysia pastilah tidak terkecuali untuk mengambil tindakan serupa.

Apa isu pokok?

Naif sangatlah kita untuk mengimani yang mana-mana negara di dunia ini akan mengizinkan negara mereka dijadikan medan melakukan apa jua jenayah oleh warga asing dan tanpa perlu dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

Adakah jika ada tindakan yang diambil untuk menghalang jenayah tersebut daripada terus berlaku, ia juga boleh dianggap sebagai satu campur tangan asing?

Penulis setuju, kita sebagai rakyat, wajar waspada dengan apa jua tindakan campur tangan asing yang menjejaskan keharmonian dan kedaulatan negara. Ia prinsip asas yang menguatkan kita keseluruhannya.

Dengan segala cabaran militan keganasan di serata dunia hari ini misalnya, menjadi tanggungjawab pemimpin kita dan harapan rakyat Malaysia agar negara kita selamat dan bebas daripada -ancaman seperti ini.

Namun, semua ini tidak boleh mengaburi kita daripada mengimbangi diri dengan fakta sebenar dan isu pokok dalam saman sivil oleh DoJ ini; iaitu skandal 1MDB ini melibatkan dakwaan penyalahgunaan wang syarikat pelaburan milik kerajaan yang mendapat jaminan kerajaan dan membeli aset bernilai lebih AS$1 bilion melalui dakwaan penggubahan wang haram yang dilakukan dengan skala besar.

Ia juga melibatkan individu yang diragui posisi mereka dengan pegawai tertinggi kerajaan dan dilakukan di Amerika Syarikat melalui institusi kewangan di sana. Jadi, bagaimana lagi kita mahu memberi justifikasi yang ia satu campur tangan asing? Siapakah yang mahu menjaga kedaulatan siapa?

Rakyat Malaysia berhak bertanya

Adalah sesuatu yang sangat menyedihkan bila negara kita yang pernah suatu ketika dulu diangkat sebagai negara Islam moderat, ekonominya pantas berkembang malah menjadi contoh negara Asia lain tetapi kini menghadapi dakwaan berat memalukan seperti ini.

Tindakan sivil oleh DoJ bukanlah suatu yang sepatutnya kita pikul sebagai isu campur tangan asing, ia beban yang dipaksa mengheret nama negara dan akan memberi kesan kepada keyakinan pelaburan asing ke dalam negara kita.

Ia menggoncang kestabilan politik negara dan akan memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi dalam negara. Dan segala rantaian kesan ini tentunya bakal memberi impak akhir kepada kita. Ketika itu siapa yang boleh kita harapkan untuk mencampuri masalah kita?

Penulis ialah pembaca FMT.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...