TERKINI :

Saturday, July 23, 2016

Biarlah media arus perdana benam berita 1MDB


Tengah hari semalam (Khamis 21 Julai) , lima kawan saya yang berkerja di sebuah kementerian di Putrajaya mengajak berjumpa di sebuah restoran mamak di sebelah Masjid Putra, Putrajaya. Saya menerima pelawaan itu kerana tumpang gembira apabila kawan-kawan yang dulunya bukan siapa-siapa kini bertaraf Jusa.

Apabila saya muncul pertanyaan pertama yang terluncur dari mulut mereka ialah, "Kenapa media arus perdana tak siar berita besar mengenai 1MDB di sebuah mahkamah di Amerika Syarikat."

Kata salah seorang daripada mereka yang baru sahaja bergelar Datuk, "Bukankah nilai beritanya tinggi berbanding berita yang diletakkan di muka depan semua akhbar Melayu dan Inggeris kecuali akhbar bahasa Cina? Aku fikir berita depa siar tu boleh simpan dulu."

Saya katakan saya tidak ada hak untuk menjawab bagi pihak media arus perdana. Kalau perlu jawapan segera boleh hubungi editor akhbar masing-masing. Tetapi saya ingatkan bahawa cara itu juga belum tentu boleh jawapannya. Kerana tidak ada jawapan.

Kemudian saya tanya mereka pula, "Apa masalah hangpa media arus perdana tidak siar berita itu? Adakah kerana tidak disiarkan maka berita besar bertaraf dunia itu tidak sampai kepada hangpa? Bukankah sama ada media arus perdana siar atau tidak, penembusan maklumat tidak terjejas sedikit pun?"

"Taklah macam tu. Kot kot la hang tau sebab-sebabnya, " kata Datuk itu. Saya menerangkan kepada mereka (macam tengah bagi ceramah pula) bahawa pada era liberalisasi media dan pendemokrasian maklumat, media arus perdana bukan faktor yang membantutkan perkembangan ini.

Era pendemokrasian maklumat dan liberalisasi media, rakyat negara ini dengan mudah mendapat akses untuk membaca akhbar-akhbar terkemuka dunia yang disiarkan secara di atas talian. Keadaan ini tidak sama dengan zaman Tun Dr. Mahathir di mana kebergantungan yang tinggi kepada media arus perdana; akhbar, radio dan televisyen.

Akhbar kontroversi The Wall Street Journal (WSJ), The Washington Post, The New York Times, USA Today boleh diakses dengan mudah dan murah. Ini belum lagi perkhidmatan berita seperti Cable News Network (CNN), Al Jazeera dan British Broadcasting Corporation (BBC).

Semalam media antarabangsa melaporkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengambil tindakan menyita harta milik anak tiri Perdana Menteri Najib Razak, Riza Aziz dan Jho Low yang menetap di Amerika Syarikat. Mereka didakwa mengambil wang syarikat pelaburan negara, 1MDB untuk kegunaan peribadi.

Sitaan yang bernilai AS$1 bilion itu difahamkan yang terbesar dalam sejarah kehakiman Amerika. Nama Malaysia di peta dunia, siapa yang tak berbangga.
Seperti semua orang maklum, tindakan media arus perdana tidak memberikan apa-apa kesan terhadap penyebaran berita berkenaan. Media arus perdana tentu mempunyai sebab-sebab tertentu membenamkan berita yang begitu besar tetapi sebagai pengguna, semua pihak tidak perlu gundah dengan tindakan tersebut.

Walaupun ada peneraju media arus perdana memberikan alasan berita itu masuk terlalu lewat hingga tidak sempat disiarkan di akhbar, saya fikir beliau bergurau kerana saya mendapat berita itu pukul 12 tengah hari Rabu.

Ada juga pihak yang menganggap media antarabangsa penipu dan memutarbelitkan fakta. Hal itu terpulang kepada penilaian masing-masing dan sepatutnya mereka juga perlu tahu di sebalik tabir media arus perdana. Kenalah tanya kawan saya Mustapha Kamil yang baru sahaja meletakkan jawatan dari media arus perdana.

Ini bukan kali pertama media arus perdana membenamkan berita-berita tertentu, misalnya kenyataan Barack Obama yang menyokong LGBT semasa melawat negara ini. Tidak ada media arus perdana yang siarkan kenyataan atau reaksi membantah padahal media yang sama juga berteriak menentang LGBT.

Begitu juga dengan titah Majlis Raja-Raja Melayu supaya pihak yang berkenaan menyelesaikan segera kemelut 1MDB. Ada media arus perdana menyiarkan di halaman dalam dengan saiz yang kecil, ada yang siar lewat sehari di halaman yang tidak utama.

Pesan saya, kita tidaklah perlu gundah gulana hanya kerana media arus perdana membenamkan berita-berita tertentu. Ini kerana tindakan itu tidak sedikit pun menghalang kita mendapat maklumat pada era penembusan Internet jalur lebar yang begitu tinggi ketika ini.

Selepas ceramah panjang lebar itu saya pun menikmati nasi kandar yang dibelanjakan oleh kawan-kawan yang berjaya dalam kerjaya. Kalau mereka "belanja nasi kandar" atau menghulurkan "derma" kepada saya, rasanya tidak menjadi kesalahan kerana saya bukan "siapa-siapa". Lainlah kalau tanda tangan saya bernilai tinggi.

Posted by ku_seman

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...