TERKINI :

Saturday, July 23, 2016

#BeStrongPM - KATA2 PERANGSANG YANG MEMANG SESUAI BUAT NAJIB

Shahbudin Husin,

Di sebalik penyokong dan penjilat Najib Razak mengatakan tindakan Jabatan Kehakiman AS membuat penyitaan harta yang menggemparkan dunia berkaitan 1MDB tidak ada kena-mengena dengan Perdana Menteri, dalam masa yang sama muncul pula kempen #BeStrongPM di media-media sosial.

Jika tidak ada kena-mengena, kenapa diminta Najib agar menjadi kuat atau tabah?

Dalam masa yang sama, kempen solidariti itu juga menjadi bahan persendaan di media sosial sehingga #BeStrongPM turut dikaitkan dengan kehidupan di penjara yang sukar, selain maki hamun dan cercaan terhadap Najib.

Apa pun, kempen tersebut secara tidak langsung mengesahkan Najib dan pengampunya berada dalam keresahan. Bukan saja Najib tidak lagi lena tidurnya, penyokong dan penjilat juga barangkali mulai kerisauan memikirkan masa depan masing-masing.

Yang lain-lain pula menafsirkan secara melulu kononnya tindakan Jabatan Kehakiman AS sebagai agenda Yahudi, cubaan campurtangan asing dan keinginan Amerika Syarikat mencabar kedaulatan negara.

Lihatlah betapa celarunya mereka!

Harus difahami tindakan Jabatan Kehakiman AS itu ialah untuk menjaga kepentingan negara mereka agar tidak dijadikan syurga pencuri dan perompak untuk menghalalkan wang yang dilarikan.

Ia tidak mengancam kedaulatan dan masa depan Malaysia, malah menunjukkan kepada kita siapakah pencuri dan perompak yang sebenar. Ancaman dan bahaya sebenar kepada negara ialah perompak dan pencuri, bukannya Amerika Syarikat yang mahu menangkap mereka. Kita sepatutnya berterima kasih kepada Jabatan Kehakiman AS.

Kepada yang mengatakan ia agenda Yahudi, kenapa perkara itu tidak dibangkitkan ketika Najib melantik Apco sebagai penasihat media, ketika 1MDB memberi kepercayaan untuk Goldman Sachs menguruskan dananya atau ketika TPPA setuju ditandatangani?

Mengapa hanya ketika kedudukan Najib terlihat mula terancam, barulah agenda Yahudi dan kedaulatan negara terancam mahu dibangkitkan?

Sebenarnya saman sivil Jabatan Kehakiman AS ini hanyalah langkah permulaan ke arah pembongkaran yang lebih besar. Ia ibarat perintah mahu menyita harta berkaitan pengedaran dadah sebelum pengedar dadah sebenar dapat ditangkap dan dihukum.

Dalam tindakan AS itu, bukan hanya harta dan aset yang melibatkan Jho Low, Riza Aziz, Khadem Al-Qubaisi dan Mohamad Al-Badawy yang bakal disita yang menjadi perhatian, tetapi yang jauh lebih penting ialah kebenaran mengenai wang RM2,600 juta yang diterima Najib.

Ke mana wang 1MDB sebanyak RM28,000 juta yang tidak dapat dikesan juga mungkin lebih difahami ke mana menghilangnya?

Walaupun tidak menyebut nama Najib, sebaliknya hanya Malaysian Official 1, mereka tetap mendakwa, bahkan tentunya mempunyai bukti dan dokumen lengkap bahawa wang tersebut bersumberkan daripada bon 1MDB yang diuruskan oleh Goldman Sachs dan kemudian dimasukkan ke akaun Ambank melalui Tanore Finance Corporation.

Dengan ini, saman sivil yang dikemukakan oleh Jabatan Kehakiman AS itu adalah langkah awal ke arah pengesahan siapa sebenarnya penderma RM2,600 juta kepada Najib itu.

Apakah ia benar-benar daripada kerabat diraja Arab Saudi yang memberinya tanpa mengharapkan balasan atau ia daripada Puteri Turki Abdullah Al-Saud, pemilik PetroSaudi yang memberikan wang itu kepada Najib dengan berselindung di sebalik wang 1MDB yang dicaturkan oleh Jho Low?

Bayangkan apabila perbicaraan bermula nanti dan semua yang dituduh serta saksi-saksi dipanggil membela diri, apakah hujah RM2,600 juta itu sebagai derma ikhlas Tok Arab masih dapat dipertahankan?

Mampukah mereka menepis bukti-bukti FBI bahawa wang tersebut bukan daripada 1MDB?

Bagaimana Najib mahu berhujah lagi ketika itu sedangkan sebelum ini beliau bermati-matian mengatakan wang yang diterimanya adalah semata-mata derma dan tiada kaitan dengan 1MDB?

Juga tidak diketahui bagaimana akhirnya nasib rakan baiknya, Jho Low serta anak tirinya, Riza Aziz di tangan undang-undang AS?

Maka, buat sementara ini sesuai sangatlah kata-kata #BeStrongPM itu ditujukan kepada Najib yang hari mukanya semakin celaru dan tidak menentu. (SH 23/07/2016).

SUMBER

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...