TERKINI :

Thursday, July 21, 2016

Ahli Pas jangan mudah buruk sangka rakan sendiri

Pas

SHAH ALAM – Ahli Pas tidak sepatutnya mudah berburuk sangka dan tuduh menuduh rakan dalam parti.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Pas, Syed Ahmad Fadhli berkata, semua ahli Pas sepatutnya lebih bersederhana dalam setiap langkah perjuangan yang dibawa.

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, ahli parti Islam itu tidak sepatutnya dengan mudah menilai dan menghukum orang lain atas sesuatu tindakan yang dilakukannya.

“Dalam jemaah, kita akan bertemu dengan 1001 ragam manusia, yang datangnya daripada pelbagai latar-belakang, taraf pendidikan, cara bertindak dan gaya berfikir. Mungkin ada yang jenis laju bertindak, ada pula yang jenis lebih suka diam memerhati, ada juga jenis yang lambat bergerak. Wujudnya kerencaman dan kepelbagaian pendekatan.

“Janganlah berburuk sangka dengan sahabat sejemaah sehingga hilang nilai ukhuwah bagaikan kita pula menjadi pemegang cop untuk menuduh orang lain sebagai musuh dalam selimut dan munafik dalam perjuangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Meskipun berbeza, katanya, umat Islam Pas sepatutnya sedar dasar, hala tuju, matlamat dan tujuan yang boleh menyatukan semua ahli di bawah satu bumbung yang sama.

“Perbezaan itu adalah normal dalam berorganisasi, yang lebih utama ialah bagaimana hendak menguruskan perbezaan itu?

“Kunci utamanya ialah adab dan akhlak berjemaah. Kita boleh berbeza tetapi usah sampai menghina dan menggelar itu dan ini. Apabila berbeza sedikit, terus sahaja digelar orang lain itu munafik, liberal, hipokrit, fikrah celaru, ejen musuh.

"Usahlah semudah itu dalam menilai dan menghukum orang lain kerana mungkin pada saat itu, kita sendiri belum diuji dengan apa yang dikata,” katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...