TERKINI :

Friday, June 17, 2016

Tidak mahu berpisah punca burung unta lari

 
KUALA LUMPUR 17 Jun – Tidak mahu berpisah dengan tuan, punca berlakunya kejadian burung unta terlepas di Lebuh Raya Persekutuan, semalam.

Pemilik burung unta tersebut, Darren Chow berkata, binatang peliharaannya itu seperti tahu ia akan dipindahkan dari rumahnya di Shah Alam, Selangor ke ladang Ostrich Wonderland di Semenyih, Selangor.

Menurut Darren, dia memelihara burung unta yang diberi nama Chikaboo itu sejak lahir. Darren berasa terkejut apabila burung unta itu melompat keluar dari kereta Toyota Hilux yang dipandunya semasa berada di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran susur keluar ke Universiti Malaya.

“Saya berasa terkejut kerana sebelum ini, Chikaboo tidak pernah melompat keluar dari kenderaan walaupun tingkap dibuka.

http://www.utusan.com.my/polopoly_fs/1.343673!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_650/image.jpg“Chikaboo seperti memahami bahawa ia akan dihantar ke tempat baharu dan mungkin sebab itu Chikaboo melompat keluar ketika dalam perjalanan,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Menurut Darren, Chikaboo yang berusia 6 bulan itu telah lari dari Jalan Universiti sehingga MidValley dan ia telah berhenti kerana keletihan.

Tambahnya lagi, proses untuk menangkap binatang itu mengambil masa lebih kurang sejam dengan bantuan orang ramai yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

“Sebenarnya saya berasa sayang dan sedih untuk menghantar Chikaboo ke ladang Ostrich Wonderland.

“Tetapi saya tidak mempunyai pilihan kerana ada jiran yang mengadu kepada pihak berkuasa dan tidak gemar saya memelihara Chikaboo kerana menganggap burung unta sebagai binatang liar dan tidak jinak,” jelas Darren.

Sementara itu, pemilik Ostrich Wonderland, Casey Teh ketika dihubungi berkata, dia akan membuat kandang khas bagi memudahkan orang ramai melawat burung unta berkenaan.

“Saya berasa terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian terbabit dan bersyukur tiada kemalangan berlaku akibat kejadian itu,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...