TERKINI :

Friday, June 10, 2016

Sudah sampai masanya ROSMAH perlu dibelikan JET khusus untuk beliau

Shahbudin Husin,

GAMBAR HIASAN SAHAJA
Selain mengenai barang kemas mewah, beg tangan mahal, pakaian gemerlapan, percutian hebat, berbelanja sakan dan pembaziran, isu lain yang kerapkali diperkatakan mengenai Rosmah ialah berkaitan penggunaan jet kerajaan. 

Sejak Najib Razak menjadi Perdana Menteri lebih tujuh lalu, sudah beberapa kali kaitan antara Rosmah dengan jet ini timbul dan menjadi bualan ramai.

Rosmah pula, sejak lakinya menjadi Perdana Menteri,  seolah-olah ada keghairahan tersendiri terhadap jet dan seperti tidak boleh lagi menaiki penerbangan komersil biasa seperti sebelumnya.

Bukan saja ke luar negara, bahkan dalam negara pun kenderaan biasanya ialah jet.

Jika menaiki jet bersama Najib yang memang mempunyai kelayakan menggunakan kemudahan itu, ia mungkin lumrah dan boleh diterima ramai, tetapi menghadiri program Permata pun, Rosmah tetap mahukan kenderaan istimewa membawanya.
Kadangkala bukan setakat isteri menteri-menteri yang turut dibawanya menaiki jet itu, bahkan juga anak-anaknya.

Melalui perbualan dengan beberapa bekas pemimpin UMNO, termasuk yang pernah menjadi menteri, semua mereka mengatakan tiada kelayakan khusus untuk isteri Perdana Menteri menggunakan jet kerajaan.

Yang layak hanyalah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri saja. Isteri masing-masing hanya boleh menumpang jika si suami menggunakannya, tetapi tidak boleh menggunakannya secara sendirian.

Ini bermakna jika isteri Perdana Menteri mahu menggunakan jet kerajaan atas keperluan khusus, ia memerlukan kelulusan kerajaan atau kabinet mengenainya. 

Ketua kerajaan atau ketua kabinet ialah Perdana Menteri. Ini bermakna jika Rosmah menggunakan jet, ia adalah atas kebenaran kerajaan atau kabinet yang mana Najib adalah ketuanya.

Sebab itu, di zaman sebelum ini atau ketika Tun Mahathir dan Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri, tidak pernah sama sekali kedengaran isu jet ini timbul dan dikaitkan dengan isteri mereka.

Di zaman Mahathir lagi dahsyat, bukan saja Tun Siti Hasmah tidak pernah menggunakannya secara sendirian, anak-anaknya pun dilarang menumpang sama.

Cuma di zaman Pak Lah, walaupun isterinya turut tidak pernah menggunakan kemudahan jet secara sendirian, tetapi anak, menantu dan kaum keluarga dikatakan biasa menumpang sekali.

Perdana Menteri sebelum ini bukan saja tegas dengan prinsip bahawa isteri hanya boleh menumpang kemudahan itu, bahkan mungkin terasa malu untuk meminta kelulusan kerajaan atau kabinet bagi membenarkan isteri mereka menggunakannya.

Sebaliknya, keluarbiasaan ini hanya berlaku di era Najib. Tidak cukup dengan menaiki jet bersama Najib dan menggunakannya secara sendirian atas kelulusan kerajaan atau kabinet, Najib juga pernah pulang ke tanahair dari Hawaii untuk meninjau banjir besar di Pantai Timur pada Disember 2014 dengan menaiki penerbangan lain, manakala jet ditinggalkan bersama isterinya di sana.

Kita mungkin boleh memahami keghairahan dan keinginan Rosmah terhadap jet berdasarkan pakaiannya yang gemerlapan, barang kemasnya yang mewah, beg tangannya yang mahal dan penampilannya yang sentiasa menarik perhatian ramai, maka barangkali tidak sesuai untuk beliau menaiki pesawat komersil bersama penumpang biasa yang lain.

Untuk itu, sudah sampai masanya kerajaan segera menguatkuasakan peraturan bahawa isteri Perdana Menteri juga layak menggunakan kemudahan jet, sama seperti Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Najib yang memiliki sokongan kuat daripada kabinet dan Ketua-Ketua UMNO Bahagian tidak harus teragak-agak mengusulkan perkara itu memandangkan seperti kata Rizal Mansor, Rosmah telah memberi sumbangan besar kepada negara melalui Permata yang diasaskannya.

Sesuai dengan sumbangan besar Rosmah itu juga, kerajaan perlu membeli sebuah jet lain yang khas untuk Rosmah. Ia hanya untuk kegunaan Rosmah saja dan tidak boleh dikongsi dengan sesiapa. 

Perbelanjaan untuk jet itu juga mesti dibuat tanpa had dan boleh terbang sehingga ke sisi langit sekali pun. Sesiapa juga boleh dibawa menaikinya, tidak kira kawan-kawan, keluarga atau anak menantu.

Cat luar dan kemasan dalaman jet itu juga mesti memenuhi segala citarasa Rosmah serta mampu memberi lebih inspirasi kepadanya untuk membangunkan lagi peningkatan anak-anak bangsa melalui Permata itu.

Yang lebih penting lagi, dengan adanya jet khas itu, Rafizi Ramli tidak akan ada isu lagi untuk mengaitkan Rosmah dengan kemudahan tersebut yang setiap kali ia dibangkitkan, pasti akan membuatkan riuh rendah seluruh negara memperkatakannya.

Rosmah takkan tak setuju dengan idea ini kan, kan, kan....SH 10/06/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...