TERKINI :

Wednesday, June 29, 2016

Rahim Tamby Chik - PM perlu lepas jawatan

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
6 Julai 2015

Rahim Tamby Chik
SHAH ALAM - Datuk Seri Najib Tun Razak disaran melepaskan jawatan Perdana Menteri buat sementara waktu sehingga siasatan terhadapnya selesai.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, Bank Negara dan Ambank juga perlu mengesahkan kewujudan akaun peribadi Najib seperti yang didakwa oleh The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report (SR) dalam laporan beritanya.

“Jika tiada, apa lagi ditunggu-tunggu untuk tindakan undang-undang terhadap WSJ, SR dan lain-lain pihak yang bersubahat membuat fitnah yang sangat teruk ini. Tapi jika ada (masih wujud atau pernah wujud), tindakan segera menyiasat akaun-akaun ini perlu dimulakan untuk menilai kebenaran tuduhan-tuduhan yang dibuat.

“Mungkin semasa penyiasatan dibuat, Najib perlu melepaskan jawatan Perdana Menteri buat sementara sehingga beliau dibersihkan oleh penyiasatan ini,” katanya dalam status di Facebooknya, semalam.

Menurut Rahim, beliau sendiri pernah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda Umno ketika berdepan dengan tohmahan rasuah dan skandal suatu ketika dulu.

“Saya lepaskan kedua-dua jawatan buat sementara bagi membolehkan penyiasatan. Setelah penyiasatan dibuat bersihkan diri saya, saya menyambung semula mandat jawatan Ketua Pemuda Umno, tapi tertipu oleh (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (Timbalan Perdana Menteri ketika itu) untuk letak jawatan Ketua Menteri Melaka,” dakwanya.

Dalam status Facebook yang berasingan, Rahim turut menyarankan agar Najib memohon certificate of urgency (sijil perakuan segera) bagi menyegerakan perbicaraan kes mahkamah terhadap WSJ.

“Bayangkan jika tindakan undang-undang ini mengambil masa dua atau tiga tahun, apa akan jadi kepada situasi politik negara dan kepentingan rakyat umumnya?

“Sebab itulah permohonan bagi certificate of urgency untuk segerakan tindakan undang-undang terhadap WSJ dan lain-lain media sosial amat penting dan tiada pilihan lain,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...