TERKINI :

Friday, June 17, 2016

Program Harith Iskander tampil Mahathir diarah batal


mahathir-harith
PETALING JAYA: Kemunculan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Obviously Harith Iskander (OHI), rancangan bual bicara yang mula disiarkan di Astro Awani bulan lalu, dibatalkan.

Bekas perdana menteri itu sendiri mendedahkannya pada satu majlis di Sekinchan pagi ini.

Bercakap pada program “Majlis Peduli Rakyat” anjuran Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), Mahathir berkata Perdana Menteri hanya mahu pujian dan akan melakukan apa saja menghentikan perbezaan pendapat.

“Itu cara dia, tutup mulut orang tutup telinga orang dan akhbar asing pun nak tutup juga walaupun sukar sikit,” katanya dan turut memberi amaran kepada orang ramai jangan sebut mengenai 1MDB dan RM2.6 bilion di media sosial.

Mahathir dijadualkan menjadi tetamu undangan dalam bual bicara Harith esok. Gambar Mahathir dan Harith dalam rakaman program itu juga sudah dikongsi di Facebook beberapa hari lalu. Gambar itu menunjukkan Mahathir memandu kereta Proton sementara Harith duduk di sebelahnya.

“Bari-baru ini saya ada ambil bahagian dalam satu siri televisyen oleh Harith Iskander. Dia ada ambil sikit video untuk ditayangkan pada Sabtu ini iaitu esok.

mahathir-harith3
“Saya akan bersamanya atas pentas untuk bertukar-tukar fikiran berkenaan benda yang menggelikan hati. Itulah tujuan Harith sebab dia pelawak bukan ahli politik.

“Tapi tiba-tiba dia diarah untuk hentikan program ini. Ini cara Najib. Dan dia tutup segala akhbar televisyen semua terima arahan untuk puji, kalau nak cerita apa pun kena puji Najib,” katanya.

Bual bicara pelawak veteran itu menampilkan tetamu berprofil tinggi dalam tiga episod terdahulu.

Episod pengenalan disiarkan pada 28 Mei menampilkan CEO kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes. Harith juga meminta Tony melakukan tekan tubi ketika berada di atas pentas bersamanya.

Minggu berikutnya, Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak disakat Harith yang memaksanya menjawab soalan kuiz mengenai lagu dan pada Sabtu lalu, bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz menjadi tetamunya di OHI.

Tinjauan di laman Facebook OHI mendapati hanya ada promosi mengenai perlawanan bola sepak Euro2016.

Ia akan ke udara esok dengan tetamu yang biasa menjadi penganalisis sukan di Astro Supersports, Stanley Bernard dan Alistair Edwards bersama Santokh Singh.

Harith memang terkenal dengan sikapnya “membuli” tetamu, termasuk bertanya soalan kontroversi kepada Tony mengenai pergeserannya dengan Pengerusi Pelancongan Malaysia Wee Choo Keong.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...