TERKINI :

Monday, June 27, 2016

Prof. M Agus : Sikap penyokong totok PAS yang tidak dapat menerima kelemahan k'jaan Kelantan 

SEMENTARA MENUNGGU WAKTU BERBUKA (5)

Petang ini saya tidak mahu mengulas lagi tentang rombakan kabinet.  Saya ingin menulis dahulu tentang sikap penyokong totok parti PAS yang tidak dapat menerima kelemahan kerajaan negeri. 

Apabila saya menulis tentang air yang kotor, kebersihan bandar dan keselamatan jalan raya di Kelantan, ramai penyokong totok ini yang marah-marah.

Setiap kali saya tegur, mereka berhujah kerajaan negeri tidak ada duit, kerajaan negeri dinafikan wang royalti.  Kalau kita berhujah lagi, mereka akan menyuruh kita pula menerima redha Allah.  Saya pening dengan kumpulan totok sebegini.

Sementara saya akui prinsip federalisme banyak yang dilanggar, saya selalu tegaskan kerajaan negeri perlu mengatasi masalah rakyat dalam hal yang berkaitan dengan bidang kuasanya.  Jika tidak ada duit, cari mekanisme penyelesaiannya. 

Jika berterusan memberi alasan dan menyalahkan kerajaan pusat, saya kira ini bukan kecekapan pemerintahan.  Kerajaan yang cekap ialah kerajaan yang dapat menjaga keperluan rakyat dengan baik dalam kekurangan yang ada.

**********************************

Saya selalu tekankan dalam tulisan saya supaya kita membezakan kritikan dengan teguran.  Saya menegur soal air, kebersihan dan jalan raya kerana saya mahukan kerajaan Kelantan menyediakan kemudahan prasarana yang baik kepada rakyat.  Biar rakyat bangga dengan kerajaan mereka dan bangga dengan negeri mereka.

Semoga penyokong totok ini boleh memahami.  Jangan melihat setiap teguran kepada kerajaan negeri itu sebagai taboo.  Sekali sekala tegurlah juga kerajaan negeri untuk kesejahteraan rakyat yang telah memberi amanah kepada mereka.

*************************************

Alhamdulillah, sementara masih ada penyokong buta yang memarahi saya, saya lihat kerajaan Kelantan telah bertindak memperbaiki kekurangan yang ada. 

Mungkin kerajaan negeri tidak dapat memulihkan semua kekurangan dalam waktu yang singkat ini, tetapi tindakan proaktif yang diambil untuk mengatasi masalah yang ada sudah cukup menggembirakan saya.

Kepada rakan senegeri saya, semoganya dapat menyambut lebaran nanti dengan hati yang gembira.  Kepada penyokong totok, buka sedikit minda itu.

Selamat berbuka.

Mohammad Agus Yusoff

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...