TERKINI :

Tuesday, June 21, 2016

Prof Agus berpesan pada golongan ahli parti yang maki hamun & ugut dia...

SEMENTARA MENUNGGU WAKTU BERBUKA

Saya lama tidak menulis dalam fb.  Minggu lepas saya menulis catatan ringkas tentang Kelantan dan juga PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Tentang Kelantan saya sentuh isu keselamatan jalan raya sempena Syawal, isu rakyat mahukan air bersih dan isu kekotoran bandar.

Saya menulis dengan tujuan supaya pihak berkuasa mengambil perhatian kepada isu rakyat ini.  Jagailah rakyat.  Tidak pun saya menulis ini untuk kepentingan saya.  Untuk kepentingan kita semua.

Tetapi reaksi facebookers selalu keluar dari konteks—memaki saya dan mengugut saya melalui inbox.  Mengapa?  Kerana kita melihat tulisan saya bersifat politik.  Maka kitapun mempertahanlah parti yang kita sokong.

Pertahanlah parti yang kita sokong, itu tidak salah.  Tetapi pertahanlah secara adab agama kita.  Barulah kita dilihat murni.

Selain itu, kita perlu faham bahawa tidak semua isu kesejahteraan rakyat itu adalah isu yang perlu kita politikkan.  Jangan terlalu kepartian kita.  Bersatu hatilah kita mendesak pihak berkuasa menjaga kesejahteraan rakyat ini.  Semoganya dengan cara itu kita juga mendapat redha Allah.

********************************

Setelah keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, saya belum menulis sebarang komen.  Tiba-tiba muncul kenyataan yang kononnya dari saya.

Kawan fb meminta saya membuat hebahan bahawa itu bukan dari saya.  Bagi saya tidak mengapalah.  Saya anggap itu sebagai keghairahan politik.

Kenyataan tersebut tidak pun menghina sesiapa, sekadar pandangan politik kepartian sahaja.

**********************

Saya puas dengan kepekaan kita pada perkembangan politik negara hari ini.  Teruskan.  Cuma pesan saya, jangan pula kita terlebih peka sehingga semangat itu membuatkan kita mudah beremosi dalam politik.

Nasihat saya, sebagai seorang Muslim, bermainlah politik tanpa memfitnah kawan dan memburukkan pihak yang berbeza pandangan dengan kita.  Setiap dari kita ada hak dan kebebasan untuk mempunyai pandangan sendiri.

Semoga kita semua mendapat redha Allah.  Salam Ramadan.

Mohammad Agus Yussof

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...