TERKINI :

Friday, June 17, 2016

PRK ini referendum buat Amanah dan PAS

Oleh Yunus Tasim

sungai-besar_kuala-kangsar_amanah_pas_600 

Banyak sudah diperkatakan tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Malah ramai yang meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menang mudah dengan majoriti lebih besar.

Sebenarnya Umno/BN tak perlu kempen. BN boleh tarik nafas lega bila Suruhanjaya Pilihanr Raya (SPR) mengumumkan pertandingan tiga-penjuru biar pun calonnya tidak segah mana.

PRK ini tidak membawa erti yang besar kepada BN/Umno dan Malaysia. Siapa yang menang sekali pun, kedudukan Umno/BN di parlimen dan kerajaan persekutuan tidak tergugat.

Seperti Sarawak, Umno/BN pasti ingin mendapat petunjuk sokongan rakyat Semenanjung terhadapnya. Apakah 1MDB dan kes-kes yang melibatkan perdana menteri mempengaruhi keputusan rakyat terutama rakyat luar bandar?

Umno/BN juga ingin menguji betapa pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad mampu menggugat kedudukan Najib dan Umno/BN di Malaysia.

PRK ini bukan untuk Umno/BN. Dan Umno/BN tahu penyertaan PAS menguntungkan mereka kerana undi “orang Islam” berpecah sedang undi orang ultra-Melayu kukuh untuk mereka. Apatah lagi sejak kebelakangan ini pimpinan PAS banyak didakwa “menyokong dan mengampu” Najib.

Yang ada pun bunyi kokok sumbang timbalan presidennya berbeza dari arus perdana pimpinan PAS.

Jadi apakah penglibatan PAS dalam PRK ini hanyalah “dummy” dan perosak untuk memastikan Umno/BN menang?

Atau untuk pastikan saingan Umno/BN iaitu Pakatan Harapan (PH) tidak menang?

Atau lebih rasis, untuk pastikan DAP tidak menang dan berkuasa?

Yang pasti PRK ini adalah referendum untuk PAS dan juga Amanah. PAS yang mengaku kembali solo setelah talak dari Pakatan Rakyat, mahu menguji popularitinya sebagai kuasa ketiga.

Tentu tidak ada masalah di kalangan ahli dan penyokong tegar PAS yang wala sekian lama. Tetapi kemenangan dalam pilihanraya tidak hanya bergantung kepada ahli dan yang simpati sahaja. Lainlah kalau Pas menyertai pilihanraya bukan untuk menang tetapi hanya sekadar untuk redha Allah dan untuk menjadi penasihat seperti yang digembar-gemburkan sebahagian pemimpinnya.

Apatah lagi dengan sokongan talian hayat dari Umno, PAS rasa tidak perlu bersusah payah untuk mencapai cita-cita utama perjuangannya melaksanakan hudud di Malaysia.

PAS juga berfikir kemenangannya pada PRU12 dan PRU13 bukanlah kerana gabungan mereka dengan Pakatan Rakyat.

Malah ada suara dalaman PAS yang mendabik dada mengatakan kemenangan PR adalah kerana jentera pilihanraya PAS yang kuat. Dan undi bukan Melayu kepada PAS pada PRU yang lepas adalah kerana mereka memang menyokong perjuangan PAS, bukan kerana kerjasama dalam PR.

Apakah telahan PAS ini satu realiti? Atau cuma mimpi di siang hari? Hari Sabtu adalah penentunya.

PRK ini juga untuk mengukur penerimaan rakyat kepada parti baru Amanah. Parti “serpihan PAS” ini dari awal menyatakan pendiriannya yang tegas dan jelas.

Untuk membetulkan kebobrokan dan menghancurkan kemungkaran yang dilakukan oleh Umno/BN sejak azali terutama kerosakan yang menjadi pengetahuan rakyat dan dunia akhir-akhir ini, rakyat dan Malaysia memerlukan sistem dua parti di mana parti yang memerintah dan parti pembangkang mestilah sama kuat.

Malangnya parti pembangkang dilihat terus bercakaran sama sendiri. Sesuatu yang dipersetujui mudah saja diruntuhkan dan ini mengelirukan rakyat dan pengundi.

Di harap parti pembangkang sedar dan dengan talaknya PAS dari PR dan penubuhan PH dengan ahli baru Amanah, pembangkang boleh bersatu dari segi tujuan dan tindakan walaupun di sana kita tahu politiking di kalangan ahli politik PKR terlalu tinggi dan boleh merosakkan.

PRK ini adalah medan yang terbaik untuk PH dan Amanah membuktikan mereka boleh memberi harapan baharu kepada rakyat Malaysia.

Yang pasti, tidak ada lagi tikam dari belakang. Tidak ada presiden sesebuah parti akan veto bercanggah dengan keputusan Majlis Presiden.

Untuk Amanah, menang PRK ini amat tipis, tapi tidak mustahil. PBS yang baru ditubuhkan boleh kalahkan Berjaya dan Usno. Jika pengundi bukan Melayu beri sokongan padu diikuti dengan ahli PAS yang dah insaf dengan “kecelaruan pemimpinnya” terutama persekongkolan mereka dengan Umno dan kemungkaran pemimpin Umno.

Faktor Dr Mahathir dan surat terbuka beliau kepada pengundi dalam PRK ini mungkin memberi impak akan keputusan Sabtu ini.

Kalau pun tak menang, tetapi jika undi Amanah melepasi undi PAS sebenarnya sudah memenangkan Amanah, dan bibit kemenangan PH di PRU akan datang tidak boleh dipandang enteng.

Yunus Tasim adalah pembaca FMT.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...