TERKINI :

Thursday, June 16, 2016

PRK : Hala tuju politik Melayu


Ong Boon Teck


TERDAPAT dua perkara menarik berkaitan masa depan politik Melayu melalui PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini.

Pertama, apakah Umno masih menerima sokongan dan menjadi pilihan pertama bagi kaum Melayu dan kedua, sejauh mana keberkesanan isu hudud mampu meraih undi kaum Melayu?

Melalui analisis Sin Chew Jit Poh, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah berjaya menguasai hampir semua bahagian di seluruh negara. Walaupun terdapat segelintir cawangan yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Najib, ia tidak mendatangkan sebarang ancaman.

Ketiadaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kempen Sungai Besar telah menjadi bualan hangat, namun apa yang lebih mengejutkan ialah, kelibat bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak kelihatan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk membantu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad 'menumbangkan Najib'.

Apakah Muhyiddin dan Mukhriz bimbang dipecat oleh Umno sekiranya mereka hadir dalam aktiviti anjuran pembangkang?

Kempen menurunkan Najib yang dilaungkan Mahathir juga kini semakin hilang pengaruh. Naib Presiden Umno, Datuk Sri Shafie Afdal seperti sudah 'berpaling tadah'. Beliau dilihat hadir bersama-sama ribuan penyokong BN pada hari penamaan calon PRK Sungai Besar.

Jelas sekali, Umno tetap dalam hati orang Melayu. Ramai pemimpin dan ahli-ahli parti tidak mahu tinggalkan Umno. Tambahan pula ramai orang sudah menanam dalam jiwa mereka bahawa Umno dan Melayu sememangnya tidak boleh dipisahkan.

Di atas faktor inilah, diramalkan dalam dua PRK kali ini, Umno sekurang-kurangnya memperoleh lebih daripada separuh majoriti undi Melayu. Kemungkinan ada sebilangan kecil pengundi Melayu tidak akan keluar mengundi atas faktor Dr Mahathir, namun ia tidak seharusnya menjadi kebimbangan. Umno bolehlah dikatakan hampir pasti menang, terutama sekali di Kuala Kangsar.

Sekiranya isu-isu seperti 1MDB dan GST tidak dapat menjejaskan kesetiaan orang Melayu terhadap Umno, Dr Mahathir perlulah terima hakikat bahawa apa yang dilakukan beliau selama ini sia-sia sahaja.

Benteng Umno sememangnya sukar dirobohkan. Selain Dr Mahathir, Pakatan Harapan juga mesti mengubah perspektif Orang Melayu, barulah boleh menggugat kekebalan Umno.

Analisis ini turut percaya bahawa isu hudud akan menentukan hidup mati Pas dalam politik negara. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terus menggunakan isu agama ini untuk mengembalikan kegemilangan Pas.

Melihat beberapa PRU lalu, Pas tetap ada pengaruhnya tersendiri, namun ia hanya terhad di sebelah pantai timur dan Kedah. Dalam dua PRU lalu, atas kerjasama yang diberikan parti-parti pembangkang lain, Pas berjaya menambat hati kaum bukan Melayu di Johor, Selangor dan Perak.

Sekiranya dalam dua keputusan PRK ini Pas memperoleh undi Melayu yang lebih banyak berbanding PRU lalu, ini jelas mencerminkan isu hudud yang dihebohkan Pas dapat diterima masyarakat Melayu.

Ini juga akan memberi petanda kepada Umno bahawa parti itu juga perlu bersaing dengan Pas untuk terus menggunakan isu hudud dalam meraih sokongan sehingga memungkinkan undang-undang itu akhirnya betul-betul dilaksanakan di negara kita.

Sebaliknya, sekiranya undi Pas berkurangan dengan kehilangan sokongan daripada pengundi Melayu dan bukan Melayu, Pas kemungkinan perlu mencatur strategik mereka untuk menumpukan perhatian di Kelantan sahaja.

Keadaan akan lebih memalukan Pas sekiranya Amanah mendapat jumlah undi yang lebih banyak daripada mereka. Oleh itu, dua PRK ini cukup penting bagi Pas. Sekalipun kalah dalam dua PRK ini, tetapi Pas perlu memastikan jumlah undinya mesti mengatasi Amanah. Jika tidak, Pas mungkin melihat akan ada lebih ramai ahlinya melompat ke Amanah.

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah pertembungan daripada 'tiga kuasa politik Melayu', iaitu Umno, Pas dan PKR sehinggalah kepada 'lima kuasa politik Melayu' (ditambah dengan Amanah dan kumpulan Dr Mahathir).

Melayu semakin berpecah, namun Umno tetap menjadi peneraju. Apakah hala tuju politik Melayu selepas ini? Keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar mungkin akan memberi sedikit panduan untuk memahami dengan lebih jelas lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...