TERKINI :

Sunday, June 12, 2016

Politik Lama vs Politik Baru...!!

Kenyataan Media

POLITIK LAMA VS POLITIK BAHARU

AMANAH baru beberapa bulan di persada politik walaupun kebanyakan pemimpin tertingginya adalah otai dalam politik tanah aair semasa bersama PAS dahulu. Walaupun baharu dari segi penglibatan parti AMANAH, ia mendapat perhatian yang cukup meluas baik dari kawan mahupun lawan. Ada beberapa faktor yang membentuk suasana demikian;

1. Kehadiran AMANAH bukanlah secara solo, ia adalah sebahagian komponen Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR dan DAP. Kekuatan politik bersepakat inilah yang memberi kekuatan luarbiasa kepada AMANAH dalam kemunculannya. Parti pembangkang lain seperti PAS tidak mempunyai kekuatan ini kerana mereka lebih rela bersendirian walaupun pakatan PAS dengan parti IKATAN telah diisytiharkan sebagai Blok ke-3 namun ia langsung tidak memberi impak kepada erti sebuah politik kolusi.

2. AMANAH tidak membawa agenda sempit politik seperti sentimen perkauman atau dogma agama yang sempit, ia menyatakan komitmennya pada pembentukan sebuah negara yang progresif, peduli, amanah dan mengamalkan dasar pemerintahan kerajaan yang bertanggungjawab dan telus. Ini bermakna AMANAH menentang rasuah dari akar umbinya dan mahukan pemerintahan ditegakkan atas sendi Maqasid Al-Shariah. Nuansa politik ini menggegarkan fahaman lama politik yang dilaungkan oleh Barisan Nasional (BN) dan parti PAS menyebabkan serangan bertubi kepada AMANAH dan PH.

3. AMANAH tidak boleh berkompromi dalam usaha pembentukan sebuah politik baharu dengan bersikap perkauman sempit atau menggunakan doktrin agama sempit yang dogmatik untuk bermain dengan sentimen pengundi. Ketegasan ini menggugat mazhab politik lama di Malaysia yang cenderung kepada perkauman sempit dan ‘menggunakan agama’ untuk manifesto politik sedangkan prinsip besar agama yang menuntut erti keadilan, kemanusiaan dan kebebasan sepatutnya memandu parti politik menterjemahkannya dalam polisi pemerintahan. Ketegasan AMANAH dalam hal ini menyebabkan mazhab politik lama tergugat lalu menyerang usaha ini sebagai reaksi spontan mereka.

4. AMANAH melalui hasrat PH, mahu mendidik rakyat bahawa pilihan raya sama ada kecil atau umum adalah medan kepada kesaksian terhadap prestasi dasar pemerintahan dari sudut apakah pulangan dan manfaat pemerintahan kepada rakyat yang lebih ramai. Sebab itu AMANAH berbicara tentang isu 1MDB, ‘duit sumbangan’ dalam akaun PM sebanyak RM 4.2 bilion serta pembaziran dan pemborosan PM dan isterinya serta tatakelola kewangan yang pincang dan curang. Ini amat tidak disenangi oleh parti yang selama ini ‘menikmati’ atas kegagalan dasar pemerintahan yang telus dan bertanggungjawab.

5. AMANAH dan PH menolak kaedah salah-guna kuasa PM, Dato’ Seri Najib Razak yang menggugat integriti kebebasan institusi kerajaan yang berfungsi sebagai semak-imbang kepada perjalanan kerajaan seperti Parlimen, Pejabat Peguam Negara, SPRM, Polis dan Jabatan Audit Negara. Malah AMANAH menegaskan bahawa salahguna undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi Kerajaan, Akta Hasutan dan SOSMA adalah bahaya kepada negara kerana ia boleh membawa kepada pemerintahan kuku besi untuk selamatkan individu atau parti bukan untuk selamatkan negara. Kenapa laporan Audit Negara tentang skandal 1MDB di-akta rahsiakan? Suara lantang AMANAH mengkritik semua ini dibalas dengan politik sempit perkauman dan agama oleh PAS dan BN.

Akhirnya pengundi perlu membuat keputusan samada mahu mengundi mazhab politik lama Umno/BN dan parti lain yang sama waktu dengannya atau mereka mahukan dua pilihan raya kecil ini sebagai medan semacam pungutan suara (referendum) kepada kebobrokan dasar pemerintahan BN lalu memberi ruang kepada kemunculan politik baharu yang lebih progresif, peduli dan amanah terhadap kepentingan rakyat.

Undi politik baharu adalah undi kepada Selamatkan Malaysia dan Undi Undur PM Najib serta undi Reformasi Institusi Negara.

“Undur Najib, Selamatkan Malaysia”

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Parti Amanah Negara

11 Jun 2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...