TERKINI :

Sunday, June 19, 2016

Pingat perak PAS dan Amanah bukan kemenangan

Aedi Asri FMT

“Tepuk kuat-kuat, nanti pangkah BN juga,” seloroh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming pada satu ceramah ketika berkempen di Kuala Kangsar baru-baru ini.

Walaupun ia satu gurauan, di sebaliknya adalah pengakuan betapa sukarnya menewaskan Barisan Nasional (BN) lebih-lebih lagi pada pilihan raya kecil (PRK) yang dibanjiri taburan janji pembangunan.

Sejak dari mula, kemenangan Datin Mastura Mohd Yazid pada PRK Kuala Kangsar memang sudah dijangka.

Begitu juga kemenangan Budiman Mohd Zohdi di Sungai Besar.

Apa yang tidak dijangka barangkali majoriti besar yang diterimanya, 6969 di Kuala Kangsar (dari hanya 1,083 pada 2013) dan 9,191 di Sungai Besar (dari hanya 399 pada 2013).

Menyedari kenyataan ini, maka pembangkang, PAS dan Amanah, seolah-olah lebih tertumpu mendapatkan pingat perak, iaitu tempat kedua.

Ceramah PAS menjadi medan menghentam Amanah, dengan fokus terhadap usul memperkasakan undang-undang Syariah, yang dilihat sebagai batu loncatan sebelum melaksanakan hudud di Kelantan.

Kritikan terhadap BN hanyalah lauk tambah. Tidak jelas apakah tawaran dan program PAS untuk rakyat.

Amanah yang mewakili Pakatan Harapan pula, walaupun konsisten membawa isu nasional dan menyerang BN, seperti sudah tahu sukar menewaskan BN.

Tetapi hakikatnya, undi yang diterima calon PAS di Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah, tidak banyak beza daripada calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli.

Kedua-dua pihak tidak boleh mendabik dada mendapat tempat kedua, iaitu PAS di Kuala Kangsar dan Amanah di Sungai Besar.

Selain itu, PRK ini juga pertandingan antara pemimpin tertinggi BN, PAS dan Pakatan Harapan.

Karisma pada calon, kalau pun ada, ditenggelami pemimpin mereka yang mendominasi kempen serta saban hari bertikam lidah antara satu sama lain.

Pemuka Pakatan Harapan dibantu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dengan serangan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Bagi PAS, serangan ditumpukan terhadap bekas rakan seperjuangan mereka dalam Amanah.

Dan BN kekal dengan strategi tradisi mereka: politik pembangunan.

Disebabkan ia strategi BN yang diguna pakai sejak sekian lama, bolehkah pembangkang menjadikannya alasan kekalahan?

Hakikatnya, pengundi tidak membeli agenda yang dijual pembangkang, di samping faktor mereka kini berpecah dua.

Apakah Pakatan Harapan dan PAS akan kembali ke meja rundingan? Bagaimana pula perancangan Dr Mahathir seterusnya?

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...