TERKINI :

Saturday, June 4, 2016

Petronas jual 10% ekuiti anak syarikat pada firma Jepun

Petronas memeterai perjanjian jual beli dengan JX Nippon Oil & Energy (JX NOE) bagi menjual 10 peratus pegangan ekuiti dalam Petronas LNG 9 Sdn Bhd (PL9SB), anak syarikat milik penuhnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata, kemasukan JX NOE ke dalam PL9SB menandakan pembabitan keduanya dalam projek gas asli cecair (LNG) Petronas, selain daripada 10 peratus kepentingan ekuiti sedia ada dalam MLNG Tiga Sdn Bhd.

"PL9SB memiliki kereta api pencairan LNG kesembilan dalam Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak dengan kapasiti pengeluaran 3.6 juta tan metrik setahun dan dijangka memulakan operasi komersil pada suku pertama 2017," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, jualan itu menunjukkan komitmen berterusan Petronas untuk mengembangkan perniagaan LNG dengan sokongan rakan kongsi yang dipercayai.

"JX NOE telah memainkan peranan penting dalam pembangunan MLNG Tiga dan kami berharap sumbangan yang sama kepada PL9SB,” tambahnya.

Petronas berkata, dengan tambahan kilang pencairan canggih yang dimiliki PL9SB, Kompleks LNG Petronas kini mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan kira-kira 30 juta tan metrik LNG setahun.

Menurutnya, ia akan mengukuhkan lagi kedudukan Petronas sebagai pembekal LNG yang terkemuka dan boleh dipercayai.

Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...