TERKINI :

Thursday, June 16, 2016

Peniaga mengeluh bekalan air tiada di Pasar Besar Alor Setar

Peniaga mengeluh bekalan air tiada


ALOR SETAR - Beberapa peniaga santan di Pasar Besar Alor Setar mengeluh kerana masih belum mendapat bekalan air walaupun telah membuat aduan beberapa kali kepada pihak atasan.

Lebih membimbangkan, setiap kali Ramadan, permintaan santan makin meningkat dan masalah ini mengganggu kelancaran kerja mereka.

Menurut Sobri Othman, 58, dia terpaksa mengangkut air dari Kampung Peremba yang terletak 50 meter dari pasar untuk mencuci kelapa setiap hari.

“Saya mengangkut air menggunakan motosikal seawal jam 4.30 pagi. Kalau tak, saya terpaksa datang ke kedai sekitar jam 1 pagi untuk menadah air,” katanya.

Katanya, dia memproses hampir 700 kelapa sehari dan ia perlu dibasuh untuk mengelakkan santan rosak.

Seorang lagi peniaga yang dikenali sebagai Sham, 30-an, berkata, masalah itu sudah lama menjadi isu panas yang tidak selesai namun Ramadan tahun lalu, Syarikat Air Darul Aman (Sada) membina paip khas untuk mereka.

"Tapi paip itu diubahsuai pihak tertentu dan disalurkan kepada peniaga di dalam pasar tanpa berbincang dengan kami. Sejak itu, masalah lama berulang kembali,” katanya.

Menurutnya, peniaga dalam pasar juga tiada bekalan air dan oleh itu, paip air mereka menjadi sasaran.

“Semua peniaga membayar bil utiliti RM20 sebulan namun tak dapat perkhidmatan selayaknya,” katanya.

Sehubungan itu, pihak berkuasa diminta mengambil tindakan segera.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati rata-rata peniaga memberitahu mereka tidak mendapat bekalan air termasuk dalam tandas awam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...