TERKINI :

Saturday, June 18, 2016

Pengundi Kuala Kangsar, Sungai Besar pilih MP baru hari ini | #UndilahAmanah

Hari ini, para pengundi di kawasan Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar akan memilih wakil rakyat mereka yang baru.

Seramai 32,632 daripada 32,949 pemilih berdaftar layak mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Manakala 42,365 pengundi layak mengundi di Sungai Besar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), membuka 23 pusat mengundi di Kuala Kangsar dan 28 pusat mengundi di Sungai Besar, yang akan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.

PRK Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Manakala PRK Parlimen Sungai Besar merupakan pertembungan tiga penjuru antara calon BN yang juga ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi; calon PAS yang juga ADUN Meru,Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur daripada Parti Amanah Negara (Amanah), yang mewakili Pakatan Harapan.

PRK Sungai Besar diadakan serentak dengan PRK Parlimen Kuala Kangsar berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK Sungai Besar dianggap lebih sengit berbanding di Kuala Kangsar berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 di mana Noriah menewaskan calon PAS Mohamed Salleh M. Hussin dengan majoriti 399 undi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...