TERKINI :

Thursday, June 9, 2016

Pengkhianat bangsa dan demokrasi tidak akan berjaya walaupun mendapat perlindungan Najib

KEBEBASAN BERSUAR
7 Jun 2016 | UMNO


1.Pengasas negara Malaysia merdeka memilih sistem demokrasi kerana rakyatlah yang berjaya mempengaruhi dan menyokong Raja untuk menolak Malayan Union rancangan British. Rakyat dalam demokrasi diberi hak dan kuasa memilih pemimpin untuk mengetuai pentadbiran negara. Bersama dengan hak ini datang juga hak untuk menukar pemimpin jika pemimpin sudah tidak layak lagi menjadi pemimpin. Penukaran ini boleh dibuat semasa pilihanraya umum atau diwaktu mana pemimpin didapati sudah tidak lagi sesuai.

2.Dalam negara demokratik suara rakyat penting bagi pemimpin mengetahui kehendak mereka. Oleh itu kebebasan bersuara menjadi satu dari hak utama dalam demokrasi. Jika syarat ini tidak dipatuhi maka bukan sahaja demokrasi menjadi cacat tetapi ianya tidak wujud.

3.Negara Malaysia dibawah Najib sudah tidak lagi mengamal prinsip kebebasan bersuara. Memanglah sekatan terhadap memburuk hubungan antara kaum di negara berbilang bangsa ini diperlukan. Semua negara demokratik mengamalkan sekatan tertentu bagi mengelak rusuhan. Tetapi ia tidak termasuk pemerintah mengurang atau menghapus hak rakyat mengkritik pemerintah apabila pemerintah melanggar undang-undang.

4.Hari ini kita lihat hak rakyat bersuara diganggu secara terbuka. Media cetak dan elektronik dikuasai penuh oleh Najib dan tidak lagi lapor yang benar. Maklumat diputar sehingga tidak lagi mencerminkan fakta yang sebenar. Sekatan terhadap media alternatif juga dicuba.

5.Walaupun dahulu kebebasan dialami oleh ahli parti UMNO untuk mencabar Presiden, bahkan bertanding merebut jawatan presiden, hari ini jika Presiden disoal atau ditegur, yang menegur akan dibuang dari parti, atau dilucut dari jawatan dalam parti. Dengan itu ahli parti takut dan membiar presiden membuat perkara yang tidak baik.

6.Katanya ada dedak yang disumbat kedalam mulut ahli-ahli parti supaya mereka menjadi bisu. Ada ahli parti yang mengaku menerima sogokan sebanyak satu dan dua juta Ringgit dan mereka pun menutup mulut terhadap jenayah yang jelas berlaku. Mereka mengia apa sahaja. Sesungguhnya mereka bukan lagi wakil rakyat yang memilih mereka, tetapi sudah jadi orang suruhan Najib. Dasar dan perjuangan parti tidak lagi menjadi tanggungjawab mereka.

7.Demikian juga dengan Ketua-Ketua Bahagian UMNO. Mereka sudah tidak ada suara lagi setelah melihat seorang Naib Ketua Bahagian yang menegur Presiden dipanggil oleh polis, disoal, dimasuk dalam tahanan dan dihadapkan ke mahkamah.

8.Walau apa pun kesalahan yang dilakukan oleh Najib, walaupun duit Kerajaan berbillion Ringgi dihilangkan, walaupun Najib tiba-tiba memiliki berbillion Ringgit dalam akaun peribadinya yang tidak dapat dijelas puncanya; wakil rakyat BN, Ketua-Ketua Bahagian UMNO membisu.

9.Dalam mesyuarat agung UMNO perwakilan tidak dibenar bercakap berkenaan dengan 1MDB dan 2.6 billion Ringgit dalam akaun peribadi Najib.

10.Apabila beberapa pemimpin cawangan menyoal dan menegur Najib kerana 1MDB, 2.6 billion Ringgit dalam akaunnya dan penglibatan Jho Low dan syarikat Good Star Ltd dalam pengurusan wang 1MDB sehingga ratusan juta dollar Amerika hilang, maka Ketua-Ketua Cawangan dipecat.

11.Biasanya apabila pemimpin menyeleweng, Perlembagaan negara memberi hak kepada wakil rakyat membuat undi tidak percaya dalam Dewan. Tetapi kerana dedak dan berbagai jenis tekanan, selain dari dua orang ahli UMNO, ahli-ahli UMNO yang lain dan BN tidak berani menyokong usul tidak percaya jika diusulkan.

12.Rakyat kehilangan suara secara menyeluruh. Semua peruntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang berkenaan kebebasan bersuara sudah dibatalkan. Melapor kepada polis berkenaan jenayah yang dilakukan oleh pemimpin juga bukan sahaja tidak berkesan tetapi yang melapor sendiri dimasuk dalam tahanan.

13.Sekarang ini rakyat cuba untuk merayu kepada Yang diPertuan Agong melalui Deklarasi Rakyat. Memang tidak ada peruntukkan dalam Perlembagaan bagi rakyat merayu kepada Raja-Raja. Tetapi oleh kerana semua jalan lain untuk memperdengarkan rintihan mereka sudah dihapuskan, maka terpaksalah mereka mengguna cara rayuan kepada Raja. Najib juga tidak patuh kepada Perlembagaan, undang-undang serta prinsip-prinsip demokrasi berkenaan hak bersuara oleh rakyat.

14.Ugutan juga dibuat untuk merampas paspot jika semasa berada diluar negara, kenyataan dibuat kepada media asing berkenaan salahlaku pemerintahan Najib.

15.Sudah lebih sejuta rakyat menandatangani Deklarasi Rakyat untuk selamatkan Malaysia, walaupun kedengaran ada amaran diberi oleh Kerajaan Najib bahawa sesiapa yang menandatangani Deklarasi Rakyat akan kehilangan bantuan BRIM, biasiswa anak, peluang perniagaan, lesen dan semua kemudahan hak rakyat. Peniaga akan digeledah oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri, tidak akan dapat kontrak, urusan dengan pejabat terganggu dan lain-lain ugutan.

16.Sekarang ada penyokong Najib yang memperlekehkan Deklarasi Rakyat, kononnya ada banyak penipuan. Ia mendesak polis supaya merampas Deklarasi yang berada dengan sekretariat. Harapannya ialah supaya polis dapat kenalpasti mereka-mereka yang telah tandatangan Deklarasi tersebut dan akan dapat mengugut mereka.

17.Sebenarnya memang ramai yang tidak sanggup tandatangan Deklarasi kerana rejim Najib akan ugut dan ganggu mereka. Jika tidak ada gangguan dan ugutan ini lebih ramai rakyat yang akan tandatangani Deklarasi Rakyat. Sebenarnya berjuta rakyat bersetuju supaya Najib berhenti dari menjadi Perdana Menteri. Tetapi mereka takut tindakan rejim Najib.

18.Penyokong Najib ini ialah pengkhianat bangsa dan demokrasi yang tidak senang kerana rakyat bersuara. Kononnya ia dari parti pembangkang yang bermusuh dengan kerajaan Najib. Tetapi sebenarnya ia adalah penyokong tersembunyi Najib yang ingin selamatkan Najib.

19.Usaha untuk mendapat Deklarasi Rakyat akan diteruskan. Saya percaya ramai rakyat Malaysia berani bersuara.

20.Pengkhianat bangsa dan demokrasi tidak akan berjaya walaupun mendapat perlindungan Najib.

SUMBER - BLOG TUN M : Klik Sini

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...