TERKINI :

Wednesday, June 8, 2016

Panas | Inilah punca kenapa kem Umno BN bergolak di Kuala Kangsar

Pencalonan Mastura jaga kepentingan kem Wan Khair-il..

PETALING JAYA: UMNO Kuala Kangsar sentiasa terbahagi kepada dua kem – kem bekas ahli Parlimen, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad dan kem bekas Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ramly Zahari, menurut seorang veteran parti.

Veteran UMNO Perak yang tidak mahu dinamakan memberitahu FMT bahawa persaingan antara dua kem itu menjadi pencorak latar politik tempatan, dan pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid merupakan kesinambungan kepada persaingan itu.

Selepas tragedi yang menimpa Wan Mohammad Khair-il, dakwanya, kem lawan melihat ada peluang untuk kembali menguasai UMNO Kuala Kangsar, maka tindakan perlu diambil untuk mengekalkan status quo.

“Saya fikir pencalonan bekas isteri Allahyarham, Datin Mastura Mohd Yazid juga bertujuan untuk menjaga kepentingan dan mengekalkan kem arwah.

“Ini pasti mengundang rasa tidak puas hati penyokong Ramly,” dakwanya.

Ceritanya lagi, kedua-dua kem saling bersaing sebelum ini, antaranya ketika pemilihan UMNO pada 2013 apabila Wan Khair-il mencabar Ramly bagi kedudukan Ketua UMNO Bahagian, serta persaingan mereka untuk dicalonkan pada Pilihan Raya Umum pada tahun yang sama.

Kedua-duanya dimenangi Wan Mohammad Khair-il.

Maka, veteran ini memberitahu FMT, UMNO sepatutnya memilih calon yang tidak berpihak kepada mana-mana kem bagi mengelakkan sebarang unsur sabotaj.

“Selama lima penggal Tan Sri Rafidah Aziz menjadi ahli Parlimen di sana. Beliau tidak terlalu terlibat dalam UMNO Bahagian dan tidak berkaitan dengan mana-mana kem,” katanya yang kini tidak lagi aktif dalam parti itu.

Dalam wawancara bersama FMT sebelum ini, bekas Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim turut mempersoalkan perkara sama dengan menyifatkan pencalonan Mastura bakal menguji kesetiaan ahli UMNO nanti.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam pula tidak terkejut sekiranya sabotaj berlaku, namun yakin UMNO akan dapat mengatasi masalah itu.

Beliau juga melihat pemilihan Mastura bukan disebabkan kedudukannya sebagai isteri arwah semata-mata, tetapi juga kerana latar belakang pendidikan yang baik serta rapat dengan penduduk tempatan.

“Itu adatlah, apatah lagi banyak perkara yang berlaku sekarang, terutama dengan Tun M (Mahathir Mohamad) yang menentang UMNO. Tetapi saya fikir isu Tun M sudah berlarutan dan menjadi terlalu peribadi,” katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya berhubung kaedah UMNO untuk mengatasi sabotaj, tokoh veteran UMNO itu berkata parti itu memiliki jentera yang cekap selain tidak bergantung terhadap UMNO Bahagian semata-mata.

“Ketika saya terlibat menguruskan jentera UMNO Perak dulu, kita memang bagus dan sangat tersusun. Selain itu UMNO Bahagian lain dan peringkat negeri pasti akan turun membantu kempen.

“Dan jangan lupa UMNO sudah biasa berhadapan dengan pihak yang tidak berpuas hati ini dengan cara rundingan dan menawarkan habuan tertentu,” katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...