TERKINI :

Thursday, June 23, 2016

Pakatan NGO pro BN buat laporan polis terhadap Tun M

KUALA LUMPUR - Pakatan NGO Pro Barisan Nasional dan Gabungan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan dalam blognya, CheDet pada 7 Jun lepas yang didakwa berunsur fitnah.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Sri Petaling, dekat sini.

Presidennya Zulkarnain Mahdar berkata Dr Mahathir telah melemparkan tuduhan kononnya mereka yang tidak menandatangani "Deklarasi Mahathir" adalah pengkhianat bangsa.

"Selain itu, Dr Mahathir turut menyatakan mulut ahli-ahli Umno telah disumbat dengan dedak yang menyebabkan mereka tidak dapat bersuara atau menegur presiden parti iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Zulkarnain berkata tindakan saman yang dicadangkan terhadap Dr Mahathir akan dibatalkan berikutan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan dan Parlimen Sungai Besar, Selangor pada Sabtu lepas.

"Tindakan saman yang dicadangkan sebelum ini akan dibatalkan berikutan keputusan PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang telah memihak kepada Umno Dan BN dengan majoriti yang tinggi.

"Ini sekaligus adalah satu petanda dan mesej yang jelas telah disampaikan oleh rakyat kepada Dr Mahathir bahawa tindakan yang dilakukannya ditolak oleh rakyat," katanya. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...