TERKINI :

Tuesday, June 21, 2016

Nik Abduh jadi suara Umno tutup kezaliman dengan isu perkauman

21 Jun 2016

Tindak-tanduk Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mutakhir ini menunjukkan Ketua Pemuda Pas itu berada di pihak kerajaan walaupun cuba dinafikan, tegas Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil.

Membidas dakwaan Nik Abduh kononnya Pas tiada perjanjian dengan pemerintah, beliau berkata, kegagalan Ahli Parlimen Pasir Mas itu menentang penyelewengan Najib Razak berhubung isu derma RM2.6 bilion ke akaun peribadinya seolah-olah membenarkan sahaja salah laku Perdana Menteri.

“Padahal wang tersebut yang didakwa dimasukkan melalui SRC International adalah satu salah laku dan jenayah pecah amanah. Ini adalah satu bentuk kezaliman pemerintah terhadap rakyat.

“Pemimpin negara berbelanja berbilion ringit sedangkan rakyat dihimpit dengan pelbagai tekanan kesusahan akibat GST dan kenaikan harga barang,” ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Menurutnya, kegagalan Nik Abduh untuk menentang kezaliman adalah sesuatu yang ditegah oleh Allah seperti firman-Nya dalam Surah Hud, ayat 113.

Mengulas sindiran Nik Abduh terhadap Tun Mahathir kononnya tidak lagi mempunyai 'taring' dan menyarankan bekas Perdana Menteri itu memperbanyakkan ibadat, Faiz berkata, tempelakan Nik Abduh itu selari dengan ucapan Najib yang menyerang Tun Mahathir selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, 18 Jun lalu.

“Mana lebih penting? Menentang pemerintah yang pencen atau yang berkuasa? Sebagai seorang yang ada ilmu agama, beliau (Nik Abduh) harus memuji sikap Tun Mahathir itu selari dengan hadis berbunyi, jihad paling baik adalah berkata benar terhadap raja yang zalim.

“Nik Abduh juga mungkin lupa pesanan almarhum ayahandanya bahawa menentang kezaliman adalah sama darjatnya dengan berada di atas sejadah. Almarhum hingga ke akhir hayat istiqamah menentang Umno,” ujarnya.

Terdahulu, Nik Abduh dalam entri “Catatan di Tepian Kubur” di Facebooknya semalam antara lain turut menyebut tentang sokongan yang benar dan paling tepat terhadap Pas seperti dapat dilihat pada keputusan PRK di kedua-dua Parlimen itu.

Mengulas lanjut, Faiz berpendapat kenyataan Nik Abduh yang tidak bersetuju dengan penentangan terhadap kerajaan sehinga tergadai Islam juga adalah satu pengakuan beliau yang akan terus menyokong Najib dan Umno.

“Kenyataan tersebut juga jelas satu propaganda untuk mengaburi orang Melayu kononnya perjuangan menentang kezaliman tidak penting dan syarie jika diperjuangkan bersama orang bukan Islam.

“Saya menyesali kenyataannya yang berbaur perkauman atas nama agama. Rakyat Malaysia tidak kira latar belakang agama dan kaum harus bersatu menentang kezaliman pemerintah negara terhadap rakyat hari ini,” tambahnya lagi.

http://malaysiadateline.com/index.php/berita-list/16-berita-utama/3293-nik-abduh-jadi-suara-umno-tutup-kezaliman-dengan-isu-perkauman

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...