TERKINI :

Thursday, June 2, 2016

Najib seorang 'pelajar' yang gagal, dakwa Dr M

Sejak melancarkan kempen menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melakar semula pertempuran politik, menyediakan laskar dari kedua-dua pihak yang bertentangan.

Sekarang ini, beliau melancarkan serangan terbarunya menggunakan organ parti DAP,Roketkini.

Dalam wawancara eksklusif organ media atas talian itu, Mahathir ditanya mengenai peranan beliau selaku mentor kepada Najib.

Ternyata sebagai 'guru' yang kecewa, Mahathir berkata : "Banyak orang belajar daripada saya, bukan semua ikut. Yang ni (penuntut) yang gagal. Yang ni (Najib), niat dia lain."

Mahathir turut menempelak Umno dan mengadu mengenai budaya rasuah yang membelenggu negara.

Bekas presiden Umno yang keluar parti sebagai protes terhadap Najib, mendakwa pemimpin cawangan menghalang mereka yang berkaliber untuk menyertai Umno.

"Ketua cawangan UMNO, dia tak bagi orang yang ada kaliber masuk. Bila dia mati, siapa yang ganti dia? Orang lagi bodoh daripada dia. UMNO (sekarang) telah mengecut menjadi parti yang dipimpin orang bodoh, tak ada prinsip,” katanya.

Mengenai isu rasuah pula, Mahathir mendakwa kakitangan kerajaan belajar daripada ahli politik.

"...Pegawai kerajaan sekarang pun ambil duit sebab dia tengok pemimpin boleh ambil berbilion, tak kan dia tak boleh ambil sejuta, dua?” tambahnya.

Dalam wawancara itu, Mahathir turut menggariskan perbezaan antara beliau dengan Najib.

“Najib hutang. Saya tak hutang. Saya peruntukkan duit kerajaan, bukan untuk saya. Bila sudah ada peruntukan, penjawat awam lah punya kerja. Saya tak terlibat mengubah duit itu ke sana sini,” katanya, melepaskan berdas-das tembakan suara terhadap Perdana Menteri.

“Najib adalah principal dalam 1MDB. Nak buat apa pun mesti dapat tandatangan dia. Dialah CEO dalam 1MDB, walaupun dia panggil diri dia penasihat.”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...