TERKINI :

Thursday, June 9, 2016

NAJIB panggil ZAM kerana usaha damai dengan MAHATHIR

Bersama Tun Dr.Mahathir di upacara pelancaran buku karya  Ibrahim Ali"Perjuangan Tanpa Nokhtah" di Kuala Lumpur semalam( 5 June 2016)

Walaupun sebagai Menteri Penerangan, saya telah dijadualkan menghadiri majlis perkahwinan anak seniman Mustafa Maarof pada malam 3 Julai 2006 tetapi saya terpaksa mengalih haluan ke kediaman Timbalan perdana Menteri Datuk Seri Najib.
Ini adalah oleh kerana Datuk Seri Najib sebagai Timbalan Presiden UMNO mahu mendapat penjelasan  mengenai usaha saya secara bersendirian untuk menemukan  Perdana Menteri Datuk Abdullah Badawi dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir yang sedang bersengketa.
Akhbar NST yang ketika itu diketuai oleh Kalimullah tidak senang dengan usaha  ini dan mendakwa  saya memandai-mandai sendiri ketika Abdullah Badawi berada  di Perth walaupun  saya sebenarnya telah pun memaklumkan kepadanya sebelum beliau pergi bercuti.
Bagaimanapun atas hasutan beberapa orang disekelilingnya yang anti Dr.Mahathir,Abdullah telah melupakan izin yang diberikan kepada saya apabila akhbar  The Star mendedahkan bahawa individu yang bersedia  untuk menjadi orang tengah bagi pertemuan ini adalah Gabenor Melaka Tun Khalil Yaakob.
Saya telah memberitahu ini kepada Ketua Pengarang Akhbar  The Star Datuk Wong Chun Wai untuk pengetahuannya sahaja dan bukan untuk disiarkan tetapi dia telah mungkir janji.Rupa-rupanya dia seorang kawan yang tidak boleh dipercayai.
Pendedahan ini sesuai dengan hasrat beberapa orang yang anti Mahathir disekeliling Abdullah terutama  Ketua Pengarang NST sendiri Kalimullah yang tidak mahu pertemuan damai itu menjadi kenyataan.
Ketika memberikan penjelasan kepada Datuk Seri Najib, ada panggilan Abdullah dari  Perth kepadanya  dan Najib meminta saya sendiri menjelaskan kepada Abdullah.
Abdullah mulanya bersuara keras dengan  saya walaupun beliau seorang yang biasanya bercakap  lembut dengan saya. Beliau bertanya kepada saya" Siapa suruh you jumpa dengan Dr.Mahathir?"
Saya tersinggung dengan pertanyaan ini dan mengingatkannya kembali bahawa saya telah pun memaklumkan kepadanya sebelum pergi bercuti ke Perth untuk mencari orang tengah bagi mengatur pertemuannya dengan Dr.Mahathir.
" Kalau Datuk rasa perbuatan ini tidak wajar, saya boleh berhenti,"kata saya.
Saya tidak patut berkata demikian kepada Abdullah kerana dia adalah sahabat  karib lama  saya tetapi pertanyaannya mencabar kejujuran dan keikhlasan saya.
Jawapan keras saya mungkin didengar  oleh Najib yang berada berhampiran saya. Saya sememangnya sedia  untuk berhenti jika diminta  kerana saya tidak lagi bersemangat untuk berkerja seperti  di zaman Dr.Mahathir.
Ini hanyalah secebis dari kisah yang menarik dari buku " SAYA BUKAN MENTERI ".Untuk mengetahui banyak lagi cerita-cerita panas  yang masih tersembunyi dapatkanlah  buku ini  terus dari ZAM | SUMBER
 

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...