TERKINI :

Monday, June 6, 2016

Mukhriz desak pihak berkuasa siasat bukti baharu skandal 1MDB

ALOR SETAR - Pihak berkuasa digesa bersikap telus dan memandang serius beberapa pendedahan terbaharu dan mengejutkan berhubung apa yang didakwa sebagai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, siasatan ke atas 1MDB wajar diteruskan susulan penemuan buktibukti baharu yang didedahkan itu.

“Wall Street Journal telah mendedahkan sekeping surat daripada Bank Negara Malaysia kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hassan Ariffin.

"Surat itu mengesahkan syarikat Good Star Limited yang menerima bayaran sejumlah AS$1.03 bilion dolar (RM4.2 bilion) daripada 1MDB adalah milik Jho Low,” katanya.

Menurutnya, ini mengesahkan andaian sebelum ini bahawa Jho Low memainkan peranan secara langsung dalam pergerakan wang 1MDB. Mukhriz berkata, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebelum ini telah menafikan pembabitan Jho Low namun, tindakan BNM menyaman pendedahan surat terbabit seakan mengesahkan bahawa maklumat surat itu adalah sahih.

“Sebelum ini dikatakan syarikat Good Star Limited kononnya anak syarikat Petrosaudi.

Nampaknya dakwaan itu meleset. Saya andaikan maklumat terbaharu itu penting dalam menjalankan siasatan. Jangan tutup siasatan ini,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya maklumat penting ini, semua agensi penguat kuasa seperti Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PAC harus meneruskan siasatan kes 1MDB.

“Rakyat menuntut pendedahan dan mahukan kebenaran didedah. Saya tidak nampak kenapa kita perlu sembunyikan fakta ini dengan menggunakan OSA (Akta Rahsia Rasmi) kerana ini maklumat penting yang ada kaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Mukhriz berkata, pendedahan itu juga memberi impak besar dalam siasatan 1MDB selain kaitan Jho Low yang memainkan peranan utama dalam pemindahan wang 1MDB.

“Satu lagi bukti, dikatakan 1MDB bayar kompaun kepada Bank Negara dalam jumlah yang tidak dimaklumkan, atas kesalahan menghantar wang ke luar negara kepada pihak yang tidak diluluskan Bank Negara,” katanya.

Menurutnya, ini jelas menunjukkan apa yang 1MDB lakukan adalah suatu kesalahan.

“Salah satu arahan daripada Bank Negara adalah memulangkan wang itu semula ke negara ini. Apa sudah jadi dengan wang itu? Ke mana perginya sejumlah wang itu?” katanya.

Mukhriz berkata, Peguam Negara harus membuka semula kes ini dan membantu siasatan melalui perjanjian dimeterai dengan beberapa penguat kuasa luar negara untuk mendapatkan maklumat tambahan dari pihak berkuasa luar.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...