TERKINI :

Friday, June 24, 2016

Mufti Pahang perlu bertanggungjawab keluar kenyataan.. Perjuangan DAP selaras Perlembagaan Persekutuan

Saya merujuk kepada laporan Utusan Malaysia yang memetik kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman. Rumusan dari laporan itu, ia memberi gambaran:

DAP ialah golongan kafir harbi yang menentang IslamMereka yang menyokong DAP berdosa besarMereka yang hendak menubuhkan negara sekular menentang IslamHalal memerangi kafir harbi dan penyokongnya

Atas andaian bahawa Utusan menyiarkan kenyataan beliau tanpa tokok tambah, maka saya atas sifat seorang Ahli Parlimen mewakili DAP yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, mengecam kenyataan seperti yang dilaporkan itu.

Secara umumnya, saya ingin mengingatkan, kita perlu taat kepada ulil amri, termasuk orang yang pegang jawatan Mufti selagi dia adil.

Jawatan Mufti membawa tanggungjawab yang berat. Kenyataan yang dikeluarkan adalah suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab. Ia mungkin digunakan sebagai justifikasi mengganasi mereka yang tidak bersetuju dengan ‘politik Islam’.

Adakah beliau berani bertanggungjawab jika ada puak ekstrim membunuh orang yang bukan beragama Islam? Semua orang Islam yang rasional wajib merenggangkan diri dari kenyataan melampau yang dikeluarkan Mufti itu.

Saya menyifatkan kenyataan ini sebagai kenyataan yang menyemai rasa kebencian dan mengukuhkan kepentingan golongan yang memperkudakan agama untuk kepentingan politik dan kuasa mereka.

Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang ke atas kenyataan Mufti Pahang tersebut. Majis Fatwa juga wajar mengecam kenyataan sedemikian. Mufti Pahang patut sedar bahawa pandangannya keatas sesuatu bukanlah kebenaran mutlak. 

Berdasarkan sejarah lalu dan realiti hari ini, jauh berbeza dan tidak boleh disamakan.

DAP ada sebab untuk tidak bersetuju dengan usul Rang Undang-Undang (RUU) peribadi yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Hadi Awang sebelum ini. Ia bukan kerana DAP anti-Islam tapi anti kepada orang yang menggunakan agama dan memeras ugut orang lain demi agenda mereka.

Saya sendiri tidak bersetuju RUU tersebut bukan kerana saya menentang Islam tetapi atas sebab, secara umumnya, ia suatu langkah bagi menyembunyikan kelemahan pemerintah sendiri.

Kenyataan ini berbaur perkauman walaupun Datuk Mufti merujuk kepada sejarah nabi berbaik dengan orang yang bukan beragama Islam tetapi menyuruh orang Islam melawan golongan yang menentang Islam. Ia juga secara langsung mendedahkan wajah perkauman yang tersembunyi dalam diri beliau.

Tohmahan terhadap DAP melupakan fakta sebenar

Kenyataan ini  melupakan fakta bahawa negara Malaysia ialah sebuah negara sekular di mana agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Kenyataan ini juga melupakan fakta bahawa UMNO tunjang pemerintahan juga menentang perluasan bidang kuasa mahkamah syariah. Adakah itu menjadikan UMNO juga musuh agama Islam?

Oleh kerana Malaysia negara sekular, begitu juga dengan perlembagaannya, maka tidak timbul isu DAP menentang Islam. DAP akan terus memperjuangkan agenda yang dibenarkan oleh perlembagaan.

Saya melihat kenyataan Mufti Pahang ini sebagai lanjutan pihak yang menggunakan agama untuk menyemai permusuhan dan kebencian. Kenyataan ini patut ditentang.

Saya menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya keatas Mufti Pahang ini kerana jelas mengeluarkan kenyataan yang menghasut dan boleh mencetuskan kekacauan dan permusuhan kaum.

Sebagai rekod, DAP bukan parti yang menentang Islam. DAP adalah sebuah parti sekular dan mempertahankan perlembagaan negara yang sentiasa mendukung kedaulatan undang-undang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. DAP memperjuangkan keadilan sosial untuk semua.

Sebagai mematah hujah DAP anti Islam, rekod kerajaan Pulau Pinang terhadap perkembangan agama Islam dan masyarakat Islam negeri itu terdedah untuk diteliti. Pencapaian oleh kerajaan kononnya ‘kafir harbi’ ini jauh lebih baik menggerhanakan pencapaian negeri-negeri yang ditadbir oleh mereka yang mengaku sebagai ‘Islam’. – Roketkini.com

Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz adalah Ahli Parlimen Raub merangkap Ahli Jawatankuasa DAP Pahang

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...