TERKINI :

Friday, June 17, 2016

MP gesa k'jaan buka mulut kes rasuah besar tentera laut Amerika

Pemimpin DAP Steven Sim mahu kerajaan menamatkan sikap berdiam diri terhadap apa yang digelar sebagai skandal rasuah terbesar dalam sejarah Tentera Laut Amerika Syarikat baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu menggesa kerajaan memberi jawapan mengenai kes 'Fat Leonard', yang menyaksikan pegawai tentera laut didakwa di Amerika Syarikat dan Singapura.

Skandal itu melibatkan alihan kapal tentera laut Amerika Syarikat ke beberapa pelabuhan Asia Tenggara yang dimiliki oleh kontraktor industri pertahanan Malaysia 'Fat' Leonard Francis.

"Ia didakwa sejak 2011, syarikat Francis, Glenn Defence Marine Asia (GDMA), telah dianugerahkan kontrak bernilai AS$ 200 juta oleh Tentera Laut Amerika Syarikat," kata Sim dalam satu kenyataan hari ini.

Modus operandi kontraktor itu katanya, adalah untuk mengalihkan kapal Tentera Laut Amerika Syarikat ke "pelabuhan mutiara" di rantau ini seperti Phuket atau Pelabuhan Klang.

Pelabuhan itu, jelas beliau, adalah pelabuhan di mana ia akan lebih mudah untuk memalsukan invois dan menaikkan caj.

"Carian saya sebelum ini mendedahkan bahawa GDMA memang mempunyai operasi di Pelabuhan Klang dan sebuah syarikat di bawah Marine Group Glenn beroperasi di terminal pelayaran di pelabuhan, Pusat Pelayaran Pelabuhan Klang," katanya.
Empat soalan untuk k'jaan

Sim berkata berikutan skandal rasuah besar-besaran itu, kerajaan Malaysia perlu menjawab empat soalan:

1. Adakah terdapat mana-mana pegawai kerajaan Malaysia, pegawai pelabuhan khususnya, yang terlibat dalam skandal ini?

2) Seorang bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kemudian bersara sebagai pegawai tentera telah berkhidmat dalam lembaga GDMA dan syarikat-syarikat berkaitannya; adakah apa-apa pengaruh yang tidak wajar atau penyalahgunaan kuasa berhubung perniagaan Francis di Malaysia?

3) TLDM juga merupakan pelanggan GDMA. Adakah Francis menggunakan modus operandi yang sama pada pegawai-pegawai TLDM?

4) Kedatangan USS George Washington pada tahun 2012 diumumkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya. Daripada kes yang disiasat itu kini jelas bahawa lawatan itu melibatkan rasuah dan salah guna kuasa. Adakah mana-mana pegawai-pegawai Malaysia termasuk menteri pertahanan yang terlibat?

Setakat ini kerajaan telah memilih untuk berdiam diri mengenai isu ini walaupun siasatan besar-besaran dilakukan di Amerika Syarikat dan di tempat lain.

"Sudah tiba masanya kerajaan Malaysia keluar untuk memberi jawapan kepada soalan-soalan kritikal ini," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...