TERKINI :

Saturday, June 18, 2016

Menteri Besar Kedah jalani rawatan fisioterapi

GEORGETOWN: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang menjalani pembedahan akibat komplikasi usus minggu lalu, dilaporkan sedang menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Setiausaha Politik beliau, Datuk Shaiful Hazizy Zainal Abidin, berkata keadaan kesihatan Ahmad Bashah semakin pulih selepas menjalani rawatan berkenaan dan kini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu dikatakan sudah boleh berjalan sendiri.

"Ahmad Bashah semakin pulih, namun beliau memerlukan sedikit masa untuk menjalani rawatan susulan di HPP.

"Keadaan beliau stabil dan masih dalam pemantauan pihak hospital dan beliau dijangka kembali bertugas sejurus rawatan selesai," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Shaiful Hazizy berkata, pihaknya bagaimanapun tidak boleh mengesahkan tempoh masa yang diambil untuk rawatan Ahmad Bashah di HPP, namun percaya pihak hospital akan melakukan yang terbaik.

Ahmad Bashah dipindah dari Kedah Medical Centre (KMC), Alor Setar ke HPP pada 6 Jun lalu, berikutan hospital itu mempunyai kelengkapan yang lebih terkini.

Pada 4 Jun lalu, beliau dikejarkan ke KMC selepas pitam. BH

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...