TERKINI :

Monday, June 20, 2016

Menang besar PRK berkembar, umpan Umno mengena

 umno-pru
Walaupun kejayaan manis BN di pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak membawa sebarang perubahan kepada kerajaan persekutuan atau kerusi Umno dalam Parlimen, ia tetap membawa senyuman lebar kepada Datuk Seri Najib Razak.

Apa tidaknya, dua per tiga daripada isu kempen Pakatan Harapan (PH) sepanjang dua minggu berkempen adalah dengan menyerang keperibadian Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno. Malah, ia tidak berhenti di situ saja apabila isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut menjadi sasaran Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Namun, PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar membawa majoriti lebih besar kepada BN serta Umno dan riuhlah kem kedua-dua pihak sama ada di pihak BN atau PH dengan pelbagai analisis, cadangan serta pandangan mengapa pengundi di kedua-dua kawasan berkenaan terus memilih untuk bersama Umno serta BN.

Tidak dapat dinafikan, Umno kini mengalami perubahan amat ketara dengan terus dominan dalam pakatan BN, terutama sekali dengan penyingkiran pemimpin yang menentang Najib dan 1MDB.

Berhentinya Tun Dr Mahathir Mohamad daripada Umno dan pelancaran Deklarasi Rakyat serta berkongsi pentas kempen untuk PH sepanjang PRK ini, langsung tidak menjejaskan Umno.

Strategi Putrajaya dan PWTC jelas berjaya dalam PRK berkembar ini, dan pengundi kedua-dua kawasan berkenaan tahu lebih baik mengekalkan parti sedia ada mewakili mereka daripada membuat perubahan.

Umno terus bersandarkan strategi politik pembangunan dan perkhidmatan, jelas memerangkap pengundi yang mereka memerlukan wakil rakyat boleh berkhidmat bukan hanya “melalak” seperti kebanyakan pemimpin pembangkang.

“Senjata” Umno dan BN dalam PRK ini, seperti pembebasan nelayan Sekinchan daripada pihak berkuasa Indonesia dan pengumuman Kolej Sultan Azlan Shah dinaikkan taraf universiti, berjaya memancing pengundi untuk terus percaya wakil rakyat Umno dan BN mampu berkhidmat kepada mereka.

Modal seperti inilah yang gagal diterjemah dan ditunjukkan pembangkang.

Sesuatu yang menghairankan juga di PRK Sungai Besar apabila kerajaan negeri yang diterajui PKR seperti tidak bersedia daripada segi jentera pentadbirannya, termasuk dalam memberikan janji pembangunan kepada penduduk di Parlimen berkenaan.

Kehadiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang hanya membuat kemunculan rasmi tidak sampai tiga kali sepanjang dua minggu berkempen di Sungai Besar, menjadi “buah mulut” pengundi dan secara tersirat ia turut memberikan “endorsement” kepada calon PAS di Sungai Besar.

Isu rakyat seperti pengenalan caj jeti oleh kerajaan Selangor berjaya digunakan sepenuhnya oleh jentera Umno bagi membelasah kerajaan negeri hingga berjaya membuatkan pengundi Cina di Sungai Besar beralih arah.

Amat menghairankan juga mengapa pembangkang tidak memainkan isu 1MDB sepanjang kedua-dua PRK ini bagi meyakinkan rakyat memilih mereka, sebaliknya memilih strategi memburukkan pemimpin Umno.

Pada masa sama, usaha berterusan BN “mengganyang” kerajaan DAP Pulau Pinang juga memberikan kesan kepada pengundi dalam PRK ini, terutama masyarakat Cina.

Buat ketika ini, Umno dan BN seakan sudah menemui cahaya dalam berdepan dengan rakyat menjelang PRU14 dan sudah pasti akan terus mengekalkan kuasa pemerintahan, jika pembangkang terus gagal menguruskan rumah mereka sendiri dan paling utama jika masih tidak bersatu hati.

Sebenarnya, strategi dan ramuan terbaik buat Umno yang jelas kelihatan dan berjaya diterjemahkan adalah dengan mengeluarkan PAS daripada Pakatan Harapan sekali gus membuatkan blok pembangkang itu berjalan sebelah kaki saja.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...