TERKINI :

Wednesday, June 1, 2016

M'sia ketiga paling hampir dengan krisis kewangan Asia

Asia berada di ambang kemungkinan krisis kewangan, menurut penganalisa politik, dengan Malaysia berada di kedudukan ketiga untuk tempat ia bermula.

Berbanding dengan krisis kewangan Asian 1997 yang bermula di Thailand, penganalisa Alastair Newton berkata, krisis tersebut berlaku ekoran hutang domestik.

“Ia bukan krisis 1997 sekali lagi, bukan disebabkan oleh hutang luaran.

“Ia lebih kepada krisis Asian versi 2007 (krisis gadai janji subprima di Amerika Syarikat). Ia berkenaan hutang domestik dan kenaikan harga aset yang disebabkan kadah faedah rendah yang berterusan.

“Ini akan menjurus kepada tekanan utama dalam sistem kewangan,” katanya di Petaling Jaya, pagi ini.

Bekas duta British itu berucap semasa Persidangan Ekonomi Global 2016, yang dianjurkan oleh pasukan pemikir Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Pusat Kajian Sosio Ekonomi (SERC).

Mendahului senarai negara-negara yang terdedah kepada krisis seumpama itu, Newton berkata, adalah China dan Hong Kong, diikuti oleh Thailand dan kemudiannya, Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penemuan oleh bekas rakan sekerja yang juga ahli ekonomi, Robert Subbaraman.

Subbaraman, katanya, telah mengkaji lima penunjuk berbeza mengenai risiko dalam empat sukuan sebelum ini di pelbagai negara di rantau Asia (tidak termasuk Jepun).

Bagaimanapun, Newton menjelaskan, Subbaraman tidak melihat risiko politik yang boleh menjurus kepada krisis kewangan, dan pilihan raya Majlis Undangan Hong Kong akan datang boleh kemungkinan menjadi pencetus.

“Kedua-dua kami percaya China akan menanganinya (krisis), namun risiko kelemahan adalah besar. Jika China terjebak, saya tidak perlu jelaskan betapa seriusnya keadaan itu kepada kita semua,” katanya.

Pelbagai pihak sebelum ini menyatakan kebimbangan mengenai situasi hutang di Malaysia, sama ada dalam bentuk hutang kerajaan (sebahagian besarnya hutang domestik), hutang isi rumah dan hutang korporat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...