TERKINI :

Wednesday, June 15, 2016

Kenyataan Nik Abduh menyimpang dari perjuangan Pas

Sinar Harian

JOHOR BAHRU - Kenyataan dikeluarkan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyimpang dari semangat perjuangan politik parti berkenaan yang pernah dibawa oleh arwah ayahnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, Pas pimpinan Allahyarham amat menekankan roh kesejagatan Islam.

“Ia cenderung ke arah membawa rakyat kepada roh perjuangan Islam yang meraikan kepelbagaian yang tidak dibatasi perbezaan warna kulit.

“Sebaliknya kenyataan Nik Abduh hanyalah menggambarkan Pas yang kini hilang arah, bahkan melangkah ke belakang sehingga terpaksa menjalinkan hubungan intim dengan Umno untuk lebih memahami parti berteraskan Melayu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sheikh Omar berkata, Pas kini jelas hilang jati diri seolah-olah meraba-raba mencari arah.

Katanya, kenyataan Nik Abduh juga dilihat membawa parti berkenaan kepada Islam berteraskan perkauman, bukan atas semangat Islam yang rahmah, yang dahulunya cukup popular dengan jolokan ‘Pas for all’.

“Dalam konteks dua pilihan raya kecil (PRK) yang sedang berlangsung, saya berpandangan Pas seakan-akan cuba mempersendakan rakyat.

“Patutlah semasa berkempen di Sungai Besar, saya tak jumpa masyarakat bukan Muslim pegang bendera Pas, apatah lagi berkempen untuk Pas sepertimana suasana yang pernah dialami sewaktu Almarhum Tuan Guru Nik Aziz masih hidup. Waktu itu Pas untuk semua, tapi kini Pas seperti untuk Melayu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Nik Abduh ‘Memang Pas ditubuhkan untuk menyatukan ummah’ yang merujuk persoalan penyatuan Pas-Umno, memperlihatkan perlawanan antara dua parti itu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, ibarat ‘olok-olok’ sahaja.

“Jika rakyat undi Pas, hakikatnya parti itu sedang berusaha menjalin hubungan rapat dengan Umno. Maka, apa ertinya mengundi Pas dalam dua PRK ini?

“Tidak ada lagi garis yang jelas memisahkan perjuangan Pas dan Umno yang boleh menjadi asas kukuh mengapa rakyat perlu mengundi Pas berbanding Umno,” katanya.

Sheikh Omar turut meminta agar rakyat di Sungai Besar serta Kuala Kangsar memberikan undi kepada calon Pakatan Harapan dari Parti Amanah Negara yang jelas ingin memperjuangkan nasib rakyat, dari terus dibelenggu polisi tempang dan sarat dengan rasuah di bawah Umno-BN.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...