TERKINI :

Tuesday, June 14, 2016

Kem BN PRK Kuala Kangsar bergelora rupa-rupanya.. Orang lama terkilan..!!

‘Saya tak merajuk, cuma terkilan’
Wartawan Sinar Harian

KUALA KANGSAR – “Saya tak merajuk... Cuma terkilan,” itu luahan bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Ramly Zahari.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus mengatakan beliau tidak membantu kempen BN kerana tidak terpilih menjadi calon.

Ramly berkata, isu merajuk langsung tidak timbul sebaliknya rasa terkilan dengan calon, Datin Mastura Mohd Yazid yang bersikap dingin dengannya.

Beliau meluahkan rasa terkilan terhadap satu peristiwa ketika majlis bacaan tahlil Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad apabila diminta beredar oleh ahli keluarga Mastura.

“Saya tak frust kerana dalam politik saya lama, lepas tu ketika saya resign (dari penjawat awam) untuk jadi ahli politik saya dah membayangkan semuanya.

“Yang boleh jadi calon sorang sahaja... Cuma saya terkejut sebab Datin Mastura jadi calon,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, peristiwa itu didedahnya kerana mahu kekeliruan itu dijelaskan kerana sudah ada cakap-cakap mengenainya.

Malah menurut Ramly, beliau bersedia membuat sidang akhbar menjelaskan perkara sebenar bagi membersihkan nama baiknya.

Ditanya sama ada tindakan itu mungkin berkaitan dengan sejarah sebelum ini dengan Wan Mohammad Khair-il Anuar, beliau berkata, mungkin ia serba sedikit berkaitan pertembungan mereka berdua ketika pemilihan Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar.

Menurutnya, isu merajuk itu juga tidak timbul memandangkan beliau sendiri menggerakkan jentera bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lempor untuk BN.

“Saya sayangkan Umno, sayangkan BN. Saya masih membantu kerana saya Ketua Cawangan Kampung Lempor Hilir.

“Malah ketika bangunan Umno Bahagian Kuala Kangsar ini nak dilelong, saya bayar RM400,000 untuk pastikan ia kekal. Malah saya dah usahakan bangunan Wisma Umno Bahagian Kuala Kangsar,” katanya.

Katanya, beliau sudah bersedia dengan sepak terajang politik ini selepas melepaskan jawatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1993.

Menurut Ramly, penglibatan beliau dalam politik di Kuala Kangsar ketika itu kerana melihat Umno di bahagian itu perlu perubahan.

Ditanya mengenai potensi calon-calon bertanding, beliau berkata, ketiga-tiga calon baik dari BN, Pas dan Amanah berpotensi untuk menang tetapi sebaliknya bagi calon bebas.

Katanya, pengundi di Kuala Kangsar sukar diramal kerana penduduknya mudah mesra dengan semua orang.

“Kita tahu budaya penduduk Kuala Kangsar ini, mereka boleh senyum sampai akhir... Tapi undi akhirnya lain.

“Misalnya Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Bunga Raya... Saya pernah menguruskan PDM itu. Kalau masa mengundi, musim kempen ni, Taman Bunga Raya antara PDM terbaik. Orang ramai, tapi nak menang payah sungguh,” katanya.

Beliau berharap pengundi menggunakan kebijaksanaan pada hari pengundian 18 Jun nanti.

Ramly mula menjadi Ketua Bahagian Umno Kuala Kangsar pada tahun 1993 sebelum diangkat menjadi Adun Manong dua tahun selepas itu.

Malah, beliau juga mempunyai pengalaman dalam kerajaan negeri  Perak sebagai Exco bermula tahun 1995 hingga 2013.

Sementara itu, Mastura yang ditemui menafikan hubungan beliau dingin dengan bekas Adun Manong itu sebelum ini.

Menurutnya, beliau menghormati Ramly sebagai orang yang begitu lama dalam politik malah ketika itu Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar masih belum menyertai politik.

“Saya tidak ada masalah dengan Datuk Ramly dan isterinya yang saya panggil sebagai Kak Om yang sama-sama bergiat dengan saya di dalam Baiduri (Badan Amal dan Usaha Isteri Wakil Rakyat Perak),” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...