TERKINI :

Sunday, June 26, 2016

Isu DAP kafir harbi: Ingat semula kuliah Tok Guru Nik Aziz, kata Rafizi

Isu kafir harbi ingatkan saya kepada pesan Tok Guru Nik Aziz, kata Rafizi. Isu kafir harbi ingatkan saya kepada pesan Tok Guru Nik Aziz, kata Rafizi.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, menjatuhkan hukum kafir harbi ke atas orang bukan Islam yang tidak sependapat mengenai satu rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen adalah amat menyimpang.

Beliau menegaskan isu berkaitan keutamaan mendahulukan pelaksanaan hudud dalam masyarakat Islam yang majmuk mempunyai perbezaan di antara ulama dan pakar-pakar perundangan Islam walaupun dikatakan rang undang-undang itu bertujuan memartabatkan mahkamah syariah ke arah pelaksanaan hudud.

Mengulas kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman kelmarin bahawa DAP tergolong dalam kalangan kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam, beliau berkata, pelbagai pendapat berhubung penguatkuasaan undang-undang hudud bukan bermakna menolak hukum Allah.

"Soal perbezaan pendapat dalam pelaksanaan undang-undang hudud sekarang sebenarnya adalah khilaf mengenai keutamaan untuk mendahulukan syariat-syariat lain di dalam masyarakat, bukannya soal menolak hukum Allah sehingga boleh dilabelkan dengan pelbagai nama," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada kepada pendapat bekas Penasihat Undang-undang Negara Teluk serta bekas Profesor Undang-undang Universiti Riyadh, Dr Mohamed Salim El-Awa  dalam buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, "Punishment In Islamic Law” terutamanya kesimpulan beliau mengenai pelaksanaan undang-undang hudud di muka surat 134 hingga 138.

"Pendirian saya mengenai pelaksanaan undang-undang hudud sebelum ini adalah berpandukan kepada pandangan beliau (selain dari pandangan ulama dan pemikir Islam yang lain) bahawa orang Islam menerima hudud sebagai sebahagian dari syariat Islam," ujarnya.

Menyifatkan gejala menghukum kafir harbi yang dicetuskan mufti itu sebagai "ribut kecil", Rafizi turut memetik salah satu kuliah Almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang dimuatkan dalam buku, "Jumaat Bersama Tok Guru" tentang sirah Rasulullah SAW dengan seorang pengemis Yahudi.

"(Kuliah itu) sepatutnya menginsafkan kita orang Islam mengenai sunnah Rasulullah SAW dalam berdakwah. Ia ingatan kepada saya dan ingatan kepada semua," ujarnya yang juga Setiausaha PKR itu lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...