TERKINI :

Saturday, June 25, 2016

GKCM bayang kemungkinan wujud parti baru

Menganggap 'penghinaan' terhadap beberapa tokoh Umno oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai "tidak dapat diterima lagi", Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) membayangkan kemungkinan bakal wujud parti baru di negara ini.

Menamakan kumpulan penentang Najib itu sebagai 3M (Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir), Ketua GKCM Kamarul Azman Habibur Rahman mempertikaikan tanggapan mereka tidak lagi berpengaruh.

"Benarkah 3M ini tidak ada pengaruh? Bagaimana jika mereka menubuhkan sebuah parti baru?

"GKCM akan mula bertindak. Umno akan dilanda badai ketidakpercayaan yang amat dasyat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

GKCM adalah gabungan pemimpin Umno peringkat bawahan yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

Kenyataan GKCM itu dibuat selepas Majlis Tertinggi Umno sebulat suara memecat Muhyiddin dan Mukhriz, serta menggantung keahlian Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dari Umno.

Muhyiddin adalah bekas timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, manakala Mohd Shafie adalah naib presiden parti. Mukhriz pula bekas menteri besar Kedah.

Ketiga-tiga mereka - bersama Dr Mahathir - adalah antara pengkritik paling lantang terhadap kepimpinan Najib.

Dr Mahathir sendiri terlibat menggerakkan kempen Deklarasi Rakyat bersama beberapa parti pembangkang bertujuan mendesak Najib berundur daripada jawatannya sebagai perdana menteri.

Kata Kamarul Azman pemecatan Muhyiddin dan Muhkriz serta penggantungan keahlian Mohd Shafie sebenarnya akan melahirkan banyak persoalan.

Persoalan utama, katanya, ialah tentang integriti Najib.

Beliau mendakwa bahawa Najib kini menjadi 'orang nombor satu paling dibenci di negara ini' tetapi beliau tidak mahu menerima hakikat itu.

Manakala pemecatan Muhyiddin dan Muhkriz serta penggantungan Mohd Shafie, tambah Kamarul, akan mempunyai tempias negatif terhadap MT.

Justeru katanya Najib dan MT Umno perlu mengambil iktibar daripada revolusi rakyat Filipina yang berjaya menggulingkan Fredinand Marcos pada 22 hingga 25 Februari 1986.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...