TERKINI :

Friday, June 24, 2016

Dr M: Saya terima, rampaslah Yayasan Kepimpinan Perdana

Tun Dr Mahathir Mohamad menerima sekiranya kerajaan memutuskan untuk merampas Yayasan Kepimpinan Perdana yang diterajuinya.

Namun, kata bekas perdana menteri itu, beliau sedih kerana cadangan berkenaan dibuat oleh pemuda yang akan mewarisi negara dan kepimpinannya di masa hadapan.

“Saya ucap terima kasih kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mengsyor supaya kerajaan menghentikan segala bantuan kewangan dan harta kepada Yayasan Kepimpinan Perdana, termasuk penggajian kakitangan.

“Memanglah menjadi hak kerajaan mengguna kuasa yang diberi oleh rakyat dengan apa cara sekalipun. Ini saya terima. Rampaslah.

“Saya tidak akan merasa kehilangan apabila rampasan dibuat. Saya biasa dan faham dengan kehidupan tanpa keistimewaan,” katanya dalam tulisan terbarunya di blog hari ini.

Namun menurut Mahathir, apa yang menyedihkannya adalah pemimpin belia, yang akan mewarisi negara ini, menunjukkan kebengisan menjadi pemimpin rasuah sebelum mereka berkuasa.

“Tujuannya sama dengan rasuah. Pemberian (suapan) rasuah bertujuan mendapat sokongan, atau mengurang kritikan terhadap pemberi.

“Perampasan hak mempunyai tujuan yang sama. Tidak ada perbezaan antara pemberian dan perampasan – kedua-duanya adalah rasuah,” katanya.

Berikut tulisan penuh di blognya itu.

Saya ucap terima kasih kepada Khairul Azwan Harun, Naib Ketua Pemuda, yang mengsyor supaya Kerajaan menghentikan segala bantuan kewangan dan harta kepada Yayasan Kepimpinan Perdana, termasuk penggajian kakitangan.

Memanglah menjadi hak kerajaan mengguna kuasa yang diberi oleh rakyat dengan apa cara sekalipun. Ini saya terima. Rampaslah.

Yang saya sedih ialah cadangan ini datang dari pemuda yang akan mewarisi negara dan kepimpinannya di masa hadapan. Sebelum pun mendapat kuasa, kebengisan dan ‘corruption of power’ sudah ditunjuk.

Tujuannya sama dengan rasuah. Pemberian (suapan) rasuah bertujuan mendapat sokongan, atau mengurang kritikan terhadap pemberi. Perampasan hak mempunyai tujuan yang sama. Tidak ada perbezaan antara pemberian dan perampasan – kedua-duanya adalah rasuah.

Negara sekarang tahu apabila Khairul Azwan dengan konco-konconya mendapat kuasa (melalui rasuah) negara akan melihat suapan dan rampasan oleh Kerajaan sebagai cara mengekalkan kuasa.

Ini jelas kerana hari ini pemuda dan pewaris menyokong segala perbuatan Najib yang dunia pandang jijik, yang menjatuhkan maruah negara bangsa.

Tidaklah salah jika diramal bahawa ini juga akan dilakukan oleh mereka yang menyusul.

Saya tidak akan merasa kehilangan apabila rampasan dibuat.

Saya biasa dan faham dengan kehidupan tanpa keistimewaan. Hanya saya sedih memikir masa depan negara tercinta ini.

Apakah akan jadi kepadanya setelah budaya rasuah dipandang tinggi dan dipertahan oleh yang akan berkuasa dan memerintah.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...