TERKINI :

Wednesday, June 1, 2016

DAP 'beri arak' sehingga AMANAH tertubuh - Nik Abduh



Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mendakwa DAP 'memberi arak' kepada sesetengah bekas ahli PAS sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH).

‎Anggota Parlimen Pasir Mas itu berkata, DAP sebenarnya sombong sehingga mereka tidak sedar kesombongan sendiri.

Sebaliknya, katanya, parti itu pula menuduh beliau bersikap sedemikian.

"Saya nak beritahu DAP yang sombong sehingga dia tak tahu dia sombong, sehingga dia kata saya pula sombong.

"DAP sombong, pertama saya nak tanya dalam c‎erita kita bersama dulu siapa yang mula serang terhadap presiden PAS? DAP.

"Siapa yang memecahkan PAS sampai sesetengah ahli PAS mabuk pindah jadi AMANAH? DAP yang bagi arak sehingga mereka tubuhkan AMANAH. Itu tanda DAP angkuh‎‎," katanya pada sidang media sempena Muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu hari ini.

Semalam‎ beberapa cemuhan dilemparkan terhadap Nik Abduh yang dilabel sebagai angkuh susulan cadangan agar PAS mengkaji semula kerusi yang 'dipinjamkan' kepada bekas rakan sekutunya sebelum ini.

Kerusi pinjam hanya 'kiasan'

Sementara itu, diminta mengulas kenyataan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke yang mempersoalkan kerusi mana yang dipinjamkan PAS kepada parti itu, Nik Abduh berkata beliau hanya menggunakan 'bahasa kiasan'.

"Mana ada kerusi pinjam dalam pilihan raya, semua kerusi adalah hak parti masing-masing. Saya guna itu bahasa kiasan.

"YB Loke ini saya salut sebab bahasa Malaysia dia baik, tapi kena belajar bahasa kiasan. Pendeta Za'ba kata 'bungaan bahasa'.

"Maksud saya kerusi yang pernah PAS bertanding, mana-mana kerusi yang pernah ditandingi bermakna kita telah bina kekuatan di situ," katanya.

Nik Abduh semalam mengemukakan cadangan supaya PAS menandingi kerusi yang 'dipinjamkan' kepada DAP dan PKR ketika masih dalam Pakatan Rakyat.

Tambah beliau, sama ada menang atau kalah yang penting PAS pernah bertanding dengan DAP melibatkan tiga penjuru.

"Bila kita tak bertanding kita bagi laluan kepada DAP atau PKR. Sekarang kita mula fikir untuk ambil kekuatan yang kita bina itu.

"Tapi saya tak kata semua nak ambil balik, masih proses perbincangan, kita minta PAS Pusat melihat supaya kerusi-kerusi yang kita nak bertanding dilihat melalui kekuatan jentera yang ada di setiap kawasan," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...