TERKINI :

Sunday, June 12, 2016

Calon Bebas Kuala Kangsar - 'Sukar dapat pengundi sebab mereka sudah didedakkan'


Izat Bukhary Ismail Bukhary
KUALA KANGSAR - Calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar mengakui sukar untuk mendapat sokongan kerana mendakwa pengundi sudah diberikan dedak.

Izat Bukhary Ismail Bukhary yang memilih logo pen sebagai calon bebas berkata, beliau terpaksa bekerja lebih keras dan melakukan pendekatan berbeza berbanding parti lain bagi meraih sokongan.

"Saya susah sekarang ini. Penerimaan pengundi susah sikit sebab ramai yang sudah didedakkan. Diberi makan. Ini pusingan satu, pusingan dua...sampai pusingan berapa tidak tahu.

"Di saat akhir berlaku benda-benda yang tidak sepatutnya sehingga sanggup jual undi. Lepas mengundi, ambil gambar dan tuntut duit. Ini yang berlaku di saat-saat akhir. Siapa yang buat seperti itu, saya tidak halalkan dunia akhirat," katanya hari ini.

Katanya, perkara itu seharusnya tidak berlaku andai parti yang bertanding meletakkan agama sebagai asas perjuangan.

Malah katanya, kemunculan banyak parti juga akan menyebabkan perpecahan terutamanya masyarakat Islam.

"Saya pegang pada agama. Banyak sekarang, apa yang ada sekarang ini, parti makin banyak parti, makin banyak berpecah. Yang ini kata dia Islam, yang ini kata dia Islam.

"Jadi di mana sebenarnya? Jika berpegang pada agama, itu yang perlu kita ikut. Yang perlu kita buat kita buat, yang salah kita tinggalkan. Itu adalah saya," katanya.

Dalam pada itu, Izat Bukhary berkata, beliau menegaskan bahawa dirinya tidak ditaja oleh Parti Amanah Negara (Amanah) dalam usaha untuk memecahkan undi Pas dan BN.

"Saya tidak ditaja oleh Amanah. Saya pernah menentang lawan Umno, Pas. Saya benar-benar bebas. Setiap kali bertanding, saya dituduh ditaja. Sebenarnya saya taja diri saya sendiri.

"Kalau perjuangan saya betul, kekalahan adalah kemenangan buat saya. Saya tidak fikir pasal duit (wang pertaruhan). Saya akan berjuang demi agama," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...