TERKINI :

Saturday, June 4, 2016

Bukan Islam tak percaya Umno, Pas

ONG BOON TECK

SEJAK dua minggu lalu, sudah berbuih mulut pemimpin Umno dan Pas beri jaminan RUU Persendirian yang dibentangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Parlimen 19 Mei lalu, bukan untuk pindaan melaksanakan undang-undang hudud.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pun tampil berkata, parti-parti komponen dalam BN telah silap faham kerana RUU persendirian itu hanya untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

Kata Umno, pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) tiada kaitan dengan pelaksanaan hukum hudud. Pelaksanaan hudud hanya ada kena mengena dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, kawan-kawannya seperti MCA, Gerakan, MIC dan SUPP perlu yakin dan percaya kata-kata ini.

Manakala kata Pas, DAP tidak perlu campur tangan dalam perkara yang melibatkan orang Islam kerana tidak menyentuh hal orang bukan Islam.

Jadi, soalnya apakah masyarakat bukan Islam percaya akan kata-kata pemimpin Umno dan Pas ini?

Jawapannya mudah, masih tidak percaya! Pemimpin MCA, Gerakan, MIC dan SUPP sepakat menegaskan tindakan Abdul Hadi itu adalah 'pembuka jalan' untuk membenarkan undang-undang hudud dikuatkuasakan di negara kita.

Malahan semua menteri dan timbalan menteri bukan Islam ini sanggup meletakkan jawatan masing-masing sebagai protes sekiranya hukum hudud berjaya dilaksanakan di negara kita.

Begitu juga dengan pemimpin DAP dan pemimpin-pemimpin pembangkang bukan Islam yang lain. Mereka mengutuk Umno demi untuk melaksanakan undang-undang Islam, sanggup bersekongkol dengan Pas tanpa memikirkan perasaan masyarakat bukan Islam.

Sehingga hari ini, masyarakat bukan Islam, sama ada pemimpin politik, persatuan mahupun dewan perniagaan masih lantang mengkritik dan terus mendesak agar kerajaan menarik balik RUU persendirian itu.

Di sebalik desakan demi desakan itu, timbul juga kemusykilan bagaimana boleh timbul RUU persendirian itu? Tanpa diduga oleh kebanyakan ahli-ahli parlimen, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu tiba-tiba dibenarkan bangun dan membawa RUU berkenaan. Beliau kemudian memberitahu akan membahaskan usul itu dalam sesi parlimen akan datang.

Ahli-ahli parlimen bukan Islam pada hari itu sememangnya terkejut dan tidak percaya apa yang didengar dan dilihat mereka. Apakah cubaan demi cubaan yang dilakukan presiden Pas itu untuk membentangkan hukum hudud dalam parlimen kini telah menjadi kenyataan?

Apa yang lebih mengejutkan lagi ialah pendedahan secara terbuka oleh Abdul Hadi kelmarin bahawa Pas sebenarnya telah lama mengadakan rundingan dengan kerajaan persekutuan pimpinan BN bagi membenarkan partinya membawa usul itu ke Dewan Rakyat.

Nampaknya Umno dan Pas cuba berselindung daripada pengetahuan parti-parti sekutunya.

Belum habis Umno dan Pas memberikan penjelasan kepada kalangan bukan Islam, pendedahan Abdul Hadi mengenai rundingan berkenaan sesungguhnya tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi bagi pemimpin-pemimpin bukan Islam dalam komponen BN.

Bagi pemimpin MCA, Gerakan, MIC dan SUPP, mereka anggap seperti diperdaya oleh Umno yang sanggup 'mengadakan rundingan sulit' dengan Pas.

Demi mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dikatakan sudah bersedia bertemu dengan perdana menteri dalam masa terdekat.

Namun, apakah hasil pertemuan itu, semua persoalan yang dibimbangi oleh kalangan bukan Islam boleh terungkai?

Apakah jika Liow boleh terima penjelasan Najib, masyarakat bukan Islam pun akan turut akur? Rasanya tidak. Selagi RUU persendirian ini belum secara hitam putih dibentangkan dalam Parlimen Oktober depan, selagi itulah kritikan demi kritikan terhadap RUU yang didakwa untuk melaksanakan hukum hudud akan terus didengar.

Apakah benar usul yang dibawa Abdul Hadi itu benar-benar untuk memperkasakan Mahkamah Syariah?

Bagi kebanyakan bukan Islam, mereka masih bersikap was-was. Mereka sudah tidak percayai dan sokong Pas lagi.

Kini selepas Pas, mereka  pula kena berhati-hati dengan Umno!

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...