TERKINI :

Tuesday, June 28, 2016

Benarkan Husni tak setuju ditukarkan, sebab itu beliau meletak semua jawatan..!!

HUSNI BERSARA KERANA TIDAK SETUJU DITUKARKAN, BUKANNYA SUKARELA

Berita yang paling tidak disangka-sangka dalam rombakan kabinet yang diumumkan Najib Razak kali ini, selain perlantikan semula Noh Omar sebagai menteri ialah berkaitan pengunduran Husni Hanadzlah daripada jawatannya sebagai Menteri Kewangan Kedua.

(Terkini - menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Shamsul Zairil Kamaruddin, bekas Setiausaha Politik Husni beberapa jam kemudiannya, Husni juga mengumumkan perletakan jawatan sebagai Bendahari UMNO Malaysia, Bendahari BN Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Pengerusi  BN Tambun)

Tanpa ribut dan tanpa sebarang khabar angin sebelumnya, tiba-tiba saja diberitakan beliau memilih untuk bersara daripada jawatannya.

Najib dalam pengumuman rombakan itu memberitahu, Husni telah memilih untuk bersara dan beliau menghormati keputusan tersebut.

Tempat Husni kini digantikan oleh Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Kewangan.

Benarkah Husni memilih untuk bersara secara sukarela?

Kenapa beliau bersara sekarang dan tidak berundur saja pada pilihanraya umum akan datang yang hanya kira-kira dua tahun lagi tempohnya?

Adakah beliau tidak sihat atau ingin berehat?

Seorang rakan memberitahu, Husni sebenarnya tidak memilih untuk bersara secara sukarela tetapi terpaksa membuat keputusan itu sebagai tanda protes, kecewa dan kecil hati terhadap Najib.

Beliau dikatakan tidak setuju dengan hasrat Najib mahu menukarkannya daripada Kementerian Kewangan ke Jabatan Perdana Menteri bagi mengambil alih tempat Abdul Wahib Omar yang sebelum ini sudah pun memilih tidak mahu dilantik lagi menganggotai kabinet.

Kata rakan tersebut, beliau diberitahu mengenai perkara itu oleh salah seorang pembantu Husni sendiri pada petang semalam lagi.

Katanya, Husni agak kecewa dengan pertukaran itu memandangkan beliau selama ini telah dengan baik memainkan peranan sebagai Menteri Kewangan Kedua dan jurucakap yang dilantik oleh kabinet untuk menjawab dan menangani hal-hal berkaitan 1MDB.

Lantaran itu, Husni dikatakan berasa pertukarannya itu seolah-olah beliau tidak begitu penting lagi di sisi Najib sekarang ini, meskipun sebahagian isu berkaitan 1MDB sudah berjaya diselesaikan.

Dalam rombakan kabinet yang diumumkan Najib, empat menteri terlihat dalam rombakan iaitu Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua, Abdul Rahman Dahlan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Unit Perancang Ekonomi (mengisi tempat Abdul Wahid Omar), Noh Omar dibawa kembali menyertai kabinet memegang jawatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Mah Siew Keong sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. (SH 27/06/2016).

Shahbudin Husin

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...