TERKINI :

Tuesday, June 28, 2016

Benarkah BN begitu kuat sekarang?

Benarkah BN begitu kuat sekarang?

MUHAMAD MAT YAKIM
28 Jun 2016

Adakah Muhyiddin, Mukhriz dan Mohd Shafie akan berkolaborasi dengan pembangkang untuk terus memperjuangkan agenda mereka menentang Najib?

PETUNJUK bahawa pimpinan Umno kini berada pada tahap keyakinan diri yang amat tinggi adalah tindakan memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dibuat dalam tempoh tidak sampai seminggu selepas BN menang besar PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Bagi menyerlahkan lagi sikap itu, mereka turut menggantung keahlian Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Tanpa keyakinan diri yang tinggi, Umno tidak akan berani melakukan tindakan seperti itu kerana ketiga-tiga pemimpin berkenaan diketahui mempunyai pengaruh yang kuat, di dalam dan luar parti. Ini seakan mengiyakan andaian bahawa Umno/BN berada pada tahap yang cukup kuat sekarang berdasarkan keputusan PRK berkenaan.

Soalnya, adakah BN sudah benar-benar kuat? Adakah keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar cukup untuk dijadikan indikator penerimaan rakyat terhadap BN yang boleh dibawa hingga PRU14?

Adakah pola pengundian dan geopolitik Sungai Besar, juga Kuala Kangsar sesuai dijadikan model untuk seluruh negara hingga membuatkan pemimpin Umno/ BN yakin parti itu kini berada pada kedudukan yang cukup mantap untuk mengekalkan pemerintahan?

Seorang ketua Umno bahagian sehari selepas pilihan raya itu, terang-terangan menolak andaian bahawa perpecahan undi propembangkang jadi faktor kemenangan BN. Sebaliknya kata beliau, kemenangan itu disebabkan BN sememangnya kuat dan kembali diterima rakyat. Dan satu lagi kenyataan wajib: "Mereka sudah muak dengan propaganda pembangkang!"

Untuk sesetengah perkara, pandangan itu boleh diiyakan tetapi untuk mengatakan BN telah benar-benar kuat, masih boleh dipersoalkan.

Apa yang paling munasabah untuk diperkatakan ialah bukan BN yang kuat tetapi kucar-kacir yang berlaku dalam blok pembangkang cukup memberikan BN kelebihan dalam situasi sekarang.

Sebenarnya, banyak faktor yang mempengaruhi keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Perpecahan undi propembangkang secara terang lagi jelas telah 'membantu' kemenangan besar BN.

Dalam siaran langsung TV1 pada hari penamaan calon, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata seseorang tidak perlu jadi penganalisis politik untuk menjangkakan BN akan menang mudah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, melainkan jika berlaku sesuatu yang luar biasa.

Apabila dua parti pembangkang, Pas dan Amanah masuk bertanding, sudah tentu undi menentang BN terpecah. Apatah lagi sepanjang tempoh kempen, kedua-dua parti dilihat lebih memberi tumpuan untuk menyerang sesama sendiri berbanding usaha melawan BN. Ini sudah pasti memberikan kelebihan kepada BN.

Selain itu, pemilihan calon yang tepat juga amat mempengaruhi keputusan. Di Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dikira cukup menepati kriteria winnable candidate. Pada PRU13, Budiman menang kerusi Dun Sungai Panjang dengan majoriti 2,183 undi. Ini jadi bekalan mantap baginya untuk menghadapi PRK kerana telah sedia mempunyai deposit sokongan yang kuat.

Wanita

Selain itu, Budiman juga dikenali sebagai wakil rakyat yang mengamalkan pendekatan strategik dalam memenangi hati pengundi berdasarkan latar belakangnya sebagai lulusan sarjana komunikasi dan juga bakal siswazah doktor falsafah dalam bidang sains politik.

Dalam pada itu, sejak dipilih menjadi wakil rakyat tiga tahun lalu, beliau telah meningkatkan usaha mendekati penduduk Cina yang tidak menyokongnya pada PRU13, Sejak itu, perhatian kaum Cina terhadapnya semakin meningkat dan itulah hasil yang diperolehinya pada PRK ini.

Di Kuala Kangsar, faktor calon tidak boleh diketepikan meskipun Datin Mastura Yazid hanya berkempen dari rumah disebabkan masih dalam tempoh iddah. Bagaimanapun, inilah yang dipercayai mendorong beliau mendapat banyak undi simpati terutama kematian suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad adalah berkait dengan tragedi.

Selain itu, Wan Mohammad Khair-il Anuar juga dikenali sebagai wakil rakyat yang digemari. Selain sebagai ahli Parlimen, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Adun Bukit Chandan dan sepanjang tempoh itu, Mastura sering mengiringi suaminya dalam program turun padang. Justeru, Mastura bukanlah orang asing bagi penduduk Kuala Kangsar.

Di Kuala Kangsar, seramai 17,002 atau 51.6 peratus daripada jumlah keseluruhan 32,949 pengundi adalah wanita. Penduduk Kuala Kangsar juga sememangnya sudah lama menerima wanita sebagai pemimpin. Bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz adalah ahli Parlimen kawasan itu selama tujuh penggal (1982-2008) sebelum digantikan Wan Mohammad Khair-il.

Jika Mastura mempunyai kelebihan untuk mendapat undi wanita terutamanya, anak-anak beliau, Wan Emir Astar, 26; Wan Imar Izzat, 25; Wan Iskandar, 23, dan Wan Mohamad Amar, 19, yang aktif turun berkempen untuk ibu mereka pula berjaya mencuri perhatian golongan muda. Mereka memainkan peranan penting menarik undi golongan itu.

Sepanjang tempoh kempen, didapati tidak ada poster atau sepanduk Datuk Seri Najib Tun Razak di Sungai Besar. Di Kuala Kangsar pun begitu juga. Adakah ini petanda BN sendiri meragui imej dan persepsi terhadap Najib akan mempengaruhi pengundi?

Amanah juga dalam sepanduknya cuba mengaitkan Budiman dengan Perdana Menteri menerusi kempen 'Tolak calon Najib, pilih calon Amanah'. Berkempen tanpa poster Orang No. 1 parti bukan sesuatu yang biasa dalam pilihan raya. Ini pun sesuatu yang menghairankan juga!

Kejutan

Mengenai keputusan yang di luar jangkaan, sistem pilihan raya kita menetapkan majoriti dikira berdasarkan perbezaan undi diperoleh calon menang dengan calon yang mendapat undi kedua terbanyak.

Dalam konteks Sungai Besar, calon Amanah, Azhar Abdul Shukur di tempat kedua selepas Budiman. Justeru, perbezaan antara keduanya, 9,191 undi dikira sebagai majoriti.

Dengan itu, undi diperoleh calon Pas, Dr. Abdul Rani Osman tidak masuk dalam perkiraan. Inilah yang menjadi petunjuk jelas perpecahan undi propembangkang telah membesarkan angka majoriti. Meskipun dicampur undi dua calon pembangkang itu, Budiman masih menang besar, 2,289 undi.

Keupayaan Budiman memperoleh majoriti yang begitu besar mengikut hujah penganalisis adalah bersabit dengan kembalinya sebilangan pengundi Cina mengundi BN di Dun Sekinchan. Sekinchan adalah kubu kuat DAP. Bagaimanapun perolehan undi menunjukkan ada pengundi Cina dari kawasan itu mengundi BN pada PRK lalu.

Ada dua faktor yang berkaitan. Pertama, kejayaan kerajaan membawa balik dua nelayan dari Bagan Sekinchan, Chua Lee Teck dan Heng Chee Yong yang ditahan pihak berkuasa Indonesia sejak 3 Mac, telah menjadi faktor sentimental untuk sebilangan pengundi Cina Sekinchan berpaling tadah. Kedua-duanya selamat kembali pada petang 16 Jun, dua hari sebelum pengundian.

Kedua, pengundi Cina lazimnya mengambil kira advantage atau kelebihan yang akan mereka peroleh menerusi sesuatu pilihan raya. PRK lalu tidak mengubah kerajaan. Pada masa yang sama berbagai tawaran dihulurkan kerajaan kepada mereka.

Justeru, tidaklah menghairankan jika mereka memilih BN baru-baru ini bagi memastikan apa yang ditawarkan itu mereka perolehi. Bagaimanapun pada pilihan raya umum akan datang, mereka mungkin akan kembali mengundi parti pembangkang untuk mengekalkan kuasa memerintah negeri di tangan PKR dan DAP.

Selain itu, faktor peratusan keluar mengundi yang rendah turut mempengaruhi keputusan.

Di Sungai Besar, peratusan keluar mengundi hanya 74.4 peratus berbanding 88 peratus pada PRU13 manakala Kuala Kangsar, 71.4 peratus berbanding 84.3 peratus. Ini lebih rendah berbanding jangkaan 75 peratus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Peratusan yang rendah terutama di Kuala Kangsar dipercayai melibatkan pengundi Islam di luar kawasan yang mungkin berasa tidak berbaloi untuk mereka balik mengundi sedangkan mereka akan pulang untuk berhari raya pula dalam tempoh masa kurang lebih dua minggu sahaja.

Bagaimanapun di Sungai Besar, perangkaan yang lebih tinggi mungkin bersebab jarak kawasan itu dengan Kuala Lumpur yang tidak begitu jauh memungkinkan pengundi balik mengundi dan berbuka puasa bersama keluarga sebelum kembali semula ke tempat mereka pada hari yang sama.

Sebagai kesimpulan, BN tidak boleh terus bersorak dengan kemenangan besar pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Lebih membahayakan jika kemenangan itu seakan memberi ruang untuk mereka melakukan tindakan yang sukar diterima rakyat ataupun yang boleh memecahbelahkan lagi parti.

Pemimpin di peringkat pertengahan juga seharusnya menyalurkan maklumat secara jujur kepada pucuk pimpinan agar pemimpin di atas mendapat maklumat yang tepat, bukan teori plastik yang sekadar menyedapkan hati tetapi lari daripada realiti.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...