TERKINI :

Monday, June 20, 2016

BALING - Tiga tahun berdepan masalah air

Tiga tahun berdepan masalah air

BALING - Pusat Pengajian Anak-Anak Yatim Miskin dan Tahfiz Darussalam di Kampung Lanai, di sini merayu kepada pihak berwajib agar campur tangan bagi menyelesaikan masalah gangguan air dialami mereka sejak tiga tahun lalu.

Difahamkan masalah air di situ turut menyebabkan urusan beberapa penduduk di kampung berkenaan terganggu.

Pengasas Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Miskin dan Tahfiz Darussalam, Fadzil Lembut, 50, berkata, masalah bekalan air itu kerap berlaku terutamanya pada waktu pagi dan tengah hari.

Menurutnya, masalah itu menyebabkan bekalan air terpaksa dicatu untuk kegunaan 30 pelajar dan 10 guru termasuk kakitangan.

"Hampir setiap hari tak ada air. Kalau ada pun perlahan dan sikit saja," katanya.

Fadzil berkata, masalah itu turut menjejaskan urusan seharian pelajar, guru dan operasi pihak pentadbiran. 

"Kami menampung 30 pelajar berusia enam hingga 14 tahun di sini. Setiap pagi mereka akan dihantar ke sekolah kerajaan. Bila air selalu tak ada, pelajar tak dapat mandi untuk ke sekolah, pembelajaran mereka juga terganggu.

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.533621!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_700/image.jpg
"Beberapa pelajar juga terpaksa dibawa mandi di rumah saya di Kuala Ketil yang jaraknya 10 kilometer dari sini. Malah ada beberapa program terpaksa dibatalkan berikutan apabila kunjungan dari luar tak dapat gunakan tandas untuk ambil wuduk akibat ketiadaan air," katanya.

Katanya, sarapan pagi untuk pelajar juga tidak dapat disediakan.

"Pihak sekolah terpaksa beli makanan dari luar.

"Air minuman guru dan murid-murid juga terpaksa bergantung kepada air bukit yang diambil lima kilometer dari sini," katanya.

Tambahnya, bagi meringankan beban ditanggung, pihaknya terpaksa menghabiskan ribuan ringgit untuk membina tangki air, telaga tiub dan perigi.

Walau bagaimanapun katanya, usaha itu tidak membantu mereka memperoleh bekalan air bersih sebaliknya masalah air tetap berterusan.

"Bekalan air bawah tanah juga mungkin tidak mencukupi. Saya harap wakil rakyat dapat turun padang dan meninjau masalah ini," katanya.

Tambahnya, aduan kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada) sudah beberapa kali dibuat, namun masalah tiada jalan penyelesaian.

"Ini bukan kali pertama ia berlaku. Kami mohon pihak kerajaan dapat bantu selesaikan masalah ini," katanya.

Bagi Ketua Pelajar, Muhammad Zaki Muhammad Isa, 13, berkata, bekalan air terganggu sejak penghujung 2013 lagi pada tahun pertama dia didaftarkan.

Menurutnya, gangguan bekalan air yang kerap berlaku itu menyebabkan dia dan rakan-rakan tidak dapat memberikan tumpuan untuk belajar.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Syarikat Air Darul Aman (Sada), Rofedi Sulaiman berkata, masalah itu berlaku akibat sistem pam air di Lanai gagal berfungsi disebabkan sumber air di Kolam Kuala Pegang tidak mencukupi.

“Kawasan di Lanai bergantung kepada sumber air dari kawasan Loji Sungai Limau, air dari sana disalurkan pula ke kolam air di Kuala Pegang.

“Bila air di kolam di Kuala Pegang tidak mencukupi, sistem pam di Lanai tidak dapat berfungsi, pihak Sada terpaksa menghidupkan semula sistem pam berkenaan, kedudukan pusat tahfiz itu juga mungkin berada di kawasan tinggi,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...