TERKINI :

Tuesday, June 14, 2016

Azmin sokong AMANAH, doakan PAS dan kritik Umno BN

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah menyatakan dengan jelas, beliau menyokong calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya kecil Sungai Besar.

Berucap di majlis berbuka puasa di Sungai Besar petang tadi Azmin berkata, selepas mengadakan perbincangan panjang lebar beliau memberikan sokongan penuh kepada Azhar Shukur dari Parti Amanah Negara (AMANAH).

Bagaimanapun Azmin tidak mengetepikan terus lawan AMANAH dari PAS, Dr Rani Osman, yang dianggapnya seorang rakan di DUN Selangor.

"Saya doakan dia (Dr Rani) terus maju untuk sama-sama dalam satu tekad melawan kezaliman di Putrajaya," katanya.

Di majlis anjuran HARAPAN itu, Dr Rani turut hadir kerana beranggapan ia terbuka untuk semua.

Walaupun bersaing dalam pilihan raya kecil kali ini kehadiran Dr Rani disambut mesra oleh pemimpin dan penyokong HARAPAN.

Pilihan raya kecil Sungai Besar - dan Kuala Kangsar - akan diadakan serentak pada 18 Jun ini.

Selain Dr Rani, Azhar berdepan saingan daripada calon BN Budiman Mohd Zohdi untuk mengisi kekosongan ditinggalkan arwah Datuk Noriah Kasnon.

Itu mentaliti Umno

Kemunculan Azmin petang tadi adalah yang pertama untuknya sejak hari penamaan calon pada 5 Jun lalu.

Ketiadaan Azmin berkempen di kawasan berkenaan menyebabkan sesetengah pihak termasuk PAS dan Umno mendakwa ADUN Bukit Antarabangsa itu tidak memberikan sokongan padu kepada AMANAH.

Namun kata Azmin beliau sebenarnya sibuk mengiringi Sultan Selangor Sultan Shariffudin Idris Shah menghadiri pelbagai acara sempena Ramadan.

Namun katanya, beliau mendapat perkenan sultan untuk berada di Sungai Besar pada hari ini dan Jumaat, manakala esok di Kuala Kangsar.

Azmin juga mengkritik Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengatanya kerana tidak muncul berkempen sebelum ini.

"Itulah mentaliti Umno. Saya (sebenarnya) tak perlu pulun kerja di Sungai Besar semata-mata kerana ada pilihan raya kecil.

"Itu (turun berkempen hari-hari) adalah cara Umno. Apabila ada pilihan raya kecil baru nak turun (padang), baru nak tengok orang kampung," katanya.

Sebaliknya kata Azmin kerajaan Selangor membantu rakyat negeri itu secara berkesan sejak 2008.

Pada majlis itu juga Azmin menyerahkan peruntukan bernilai RM30,000 untuk Masjid Binjai Jaya.

Kata Azmin permohonan mendapatkan peruntukan itu dibuat sebelum musim pilihan raya kecil akan diadakan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...