TERKINI :

Thursday, June 23, 2016

Ayah bezakan PAS dan Islam, kata anak Fadzil Noor

PETALING JAYA: Empat belas tahun selepas kematian Datuk Fadzil Noor, presiden PAS yang mengemudi parti itu ketika krisis politik terburuk negara pada lewat 1990-an, anaknya mengenang kembali ayahnya sebagai seorang bersikap terbuka baik di rumah mahu pun di pentas politik.

“Beliau terkenal dengan sikap terbuka dalam pendekatan politiknya dengan menggalakkan pelbagai profesional sertai parti, begitulah beliau sebagai bapa, berikan kami pilihan,” kata Faiz Fadzil, seorang peguam, kepada FMT hari ini.

Di kalangan lapan adik-beradiknya, empat menceburi bidang undang-undang, dua dalam bidang perakaunan manakala dua lagi jurusan agama.

“Beliau tidak takfiri dan boleh berhujah dengan baik,” kata Faiz, merujuk amalan suka melabel umat Islam lain sebagai sesat.

“Di rumah juga begitu, kami tidak dilarang berhujah atas apa-apa isu termasuk isu politik ketika itu.”

Fadzil, yang menjawat presiden PAS selama tiga tahun, meninggal dunia pada 23 Jun, 2002, selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.

Jenazah beliau disambut ratusan ribu orang yang membanjiri perkarangan HUKM, sehingga memaksa solat jenazah dilakukan berulang kali.

Jenazahnya kemudian diterbangkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysa (TUDM) ke Kedah, disambut lebih 20,000 orang.

Lautan manusia sekali lagi dilihat ketika jenazah dibawa ke Pokok Sena, Kedah, kawasan Parlimen yang diwakili Fadzil sehingga akhir hayat beliau.

Perubahan dari ‘parti lebai’

Fadzil kerap dikaitkan dengan kehadiran PAS di arena perdana politik, selepas parti itu sekian lama dikenali sebagai “parti lebai” yang hanya mempunyai sokongan di kawasan luar bandar.

Sejurus selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, Fadzil merupakan antara orang pertama menziarahi bekas timbalan perdana menteri itu di kediamannya di Bukit Damansara.

Keterbukaan Fadzil dalam memimpin PAS menyaksikan keahlian PAS naik mendadak, ditambah pula dengan kemasukan profesional dan bekas ahli Umno yang kecewa layanan terhadap Anwar.

‘PAS bukan agama’

Faiz berkata ayahnya tidak taksub dengan sesuatu pemikiran, dan dapat membezakan antara PAS dan Islam.

“Beliau mahu mendidik ahli PAS supaya dapat membawa PAS atas nama agama dan bukannya agama atas nama PAS,” kata Faiz, yang kini memegang jawatan timbalan ketua Amanah, parti yang lahir selepas kemenangan puak konservatif pada Muktamar PAS tahun lalu.

Sejak perubahan kepimpinan itu, PAS dilihat lebih tegas dengan langkah memperkenalkan hukum hudud di samping mendekatkan diri dengan Umno atas kepentingan Melayu dan Islam.

Faiz berkata perkembangan mutakhir ini berlawanan daripada apa yang diimpikan ayahnya.

“Beliau tidak pernah tunjukkan sifat ultra-Melayu, malah sering ingatkan kami untuk hormati kaum lain,” kata Faiz.

Beliau menganggap apa yang berlaku dalam PAS sekarang merupakan “putaran ke belakang” yang kembali ke era PAS sebelum Fadzil.

Putaran ke belakang

Menurut Faiz, ayahnya bijak mengambil peluang politik, dan berbaik dengan semua pihak termasuk Tengku Razaleigh Hamzah dan Tunku Abdul Rahman, perdana menteri pertama yang ketika itu menentang pentadbiran Barisan Nasional di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau berbaik dengan mereka bukan atas nama political mileage, tetapi demi membina kekuatan lawan rejim Umno.

“Beliau bina PAS yang progresif dan apa yang berlaku kepada PAS sekarang adalah satu putaran ke belakang pra-kepimpinan beliau.”

Faiz berkata legasi ayahnya yang paling besar ialah tahaluf siyasi, yang membolehkan PAS mengadakan kerjasama dengan DAP walaupun kedua-dua parti itu berlawanan ideologi.

“Ini yang harus pembangkang teruskan di bawah Pakatan Harapan,” kata Faiz, merujuk gabungan pembangkang yang melibatkan PKR, DAP dan Amanah, tanpa PAS.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...